KUALA LUMPUR – UMNO Kedah akur dengan pendirian sebahagian rakyat yang menolak parti ini hanya kerana sentimen kebencian yang ditanam sejak sekian lama.
Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mengakui disebabkan sentimen tersebut, UMNO Kedah tidak mampu memberi janji atau tampil dengan pemimpin yang boleh menarik kembali sokongan jika UMNO menjadi kerajaan.
“Bertitik tolak dengan itulah rakyat kekal dengan Datuk Seri Sanusi Mohd Nor,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika menjadi tetamu program SKOP MG hari ini bersama penganalisis politik, Dr Muhammad Tawfiq Yaakob.
Beliau mengulas mengenai UMNO Kedah yang kalah semua kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke -15 dan Pilihan Raya Negeri, dilihat semakin tenggelam dengan kebangkitan gelombang hijau.
Bagaimanapun, katanya, banyak perkara yang sedang ditambah baik untuk memulihkan semula semangat dan keyakinan kepada UMNO.
“Kami kalah dengan sentimen yang berlaku. Kita akur dengan siri kekalahan itu, tapi pada masa sama kami sedang bangkit.
“Apa yang berlaku sebelum ini, kami jadikan pengajaran besar buat UMNO Kedah dan saya berharap kami tidak terus dihukum,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang gagal mengemudi parti itu, Shaiful Hazizy menafikan perkara itu.
“Ini bukan soal gagal atau apa kerana yang jelas, rakyat menolak kami kerana sentimen dan benci yang ditanamkan sejak sebelum ini lagi.
“Tiada keperluan untuk kami menukar ketua, kerana yang penting sekarang ini adalah penerangan dan strategi UMNO untuk memberi kefahaman kepada rakyat,” ujarnya.
Jelasnya lagi, tidak guna jika ketua bertukar ganti tetapi cara kerja masih sama.
“Saya berharap lebih ramai anak muda dan muka-muka baharu diketengahkan untuk menarik sokongan pengundi dan kepercayaan mereka.
“Bukan bermakna orang lama tidak bagus, cuma pada masa ini tugas kami mengembalikan kepercayaan mereka kepada UMNO.
“Perlu diingat, setiap negeri itu tidak sama, mungkin ada tempat yang memerlukan semua orang muda, tetapi di Kedah rasa benci pada UMNO itu harus dipadamkan.
“Bukan mudah tetapi kami dalam fasa itu, kami kena buktikan menerusi gerak kerja pada rakyat,” katanya lagi.
Jelas Shaiful Hazizy, kepimpinan yang ada di Kedah sedang berusaha untuk memperbaiki setiap kerosakan yang berlaku. -MalaysiaGazette