KULAI – Seorang remaja maut manakala seorang lagi cedera selepas motosikal dinaiki melanggar sebuah lori yang membuat pusingan U di Jalan Desa Idaman, Taman Desa Idaman, Senai hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tan Seng Lee berkata, kejadian pada pukul 4.30 pagi itu melibatkan remaja lelaki warga tempatan berusia 15 dan 16 tahun.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari Taman Senai Jaya menghala ke Taman Desa Idaman melanggar sebuah lori yang tiba-tiba mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan untuk membuat pusingan U.
“Akibat pelanggaran, penunggang motosikal tercampak ke tengah jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan yang hadir di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seng Lee berkata, pembonceng motosikal pula mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk menerima rawatan.
Menurut beliau, lori yang terlibat pula telah melarikan diri dan sehingga kini pemilik lori tersebut tidak tampil di balai polis untuk membuat laporan.
Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan.
Pihak polis katanya, menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes kemalangan langgar lari itu supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat trafik, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017- 757 3507. – MalaysiaGazette