KOTA TINGGI – Anggota polis yang terselamat dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu mengakui masih lagi merasa sakit terutama bahagian kiri bahunya akibat ditembak.
Sarjan Mohd Hasif Roslan, 38, berkata, keadaannya kini sudah 75 peratus sembuh daripada kecederaan dan pinggul kiri selepas
kira-kira empat bulan peristiwa berkenaan berlaku.
“Saya sudah bertugas di bahagian kebajikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi sejak seminggu lalu. Saya sudah boleh bertugas, tiada masalah cuma bahagian tangan sebelah kiri masih terasa kebas dan kurang deria rasa menyebabkan saya sukar mengangkat barang berat.
“Saya tidak trauma dan kuatkan diri dan cuba atasi, memang ada terkenang (kejadian itu). Lebih-lebih lagi hubungan saya rapat dengan dua anggota polis yang terkorban itu seperti abang dan adik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) kepadanya di IPD Kota Tinggi hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Afandi Senin dan Presiden Respa, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin.
Mohd Hasif merupakan anggota yang terselamat dalam insiden itu manakala dua anggota polis terkorban iaitu Allahyarham Korperal Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Korperal Muhamad Syafiq Ahmad Said.
Dalam kejadian terbabit, Ahmad Azza Fahmi dan Muhamad Syafiq meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Mohd Hasif cedera ditembak.
Bercerita lanjut, Mohd Hasif masih menjalani rawatan susulan iaitu fisioterapi di Hospital Kota Tinggi.
Sementara itu, Meor Chek Hussien memberitahu, pihaknya sudah menyampaikan sumbangan RM34,000 kepada dua anggota yang terkorban dan juga Mohd Hasif hasil kutipan derma daripada pihaknya, orang ramai dan korporat.
Katanya, sebanyak RM13,000 masing-masing disumbangkan kepada dua keluarga yang terkorban itu manakala RM,8,000 kepada Mohd Hasif.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: