Keratan mesej tular di media sosial hari ini berkaitan dua kes percubaan menculik di Kuantan.

KUANTAN – Tiada sebarang laporan diterima berhubung kes  percubaan melarikan kanak-kanak yang didakwa berlaku di Taman Tas dan Taman Tas Ria di sini seperti tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata,  belum ada  mana-mana individu atau pihak keluarga yang terlibat tampil membuat laporan.

”Polis mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berkaitan kes yang ditularkan. Bagaimanapun sekiranya  ada individu atau saksi yang melihat atau mempunyai maklumat bagi membantu siasatan berkaitan kejadian ini boleh tampil ke mana-mana balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat,” katanya hari ini.

Susulan itu  Wan Mohd Zahari menasihatkan orang ramai  tidak membuat sebarang penyebaran maklumat yang tidak tepat  dan sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.

Jelasnya tindakan tersebut menakut-nakutkan orang ramai selain menimbulkan panik di kalangan ibu bapa.

Terdahulu, tular mesej berkaitan cuba melarikan  kanak-kanak di beberapa platform media sosial tular dan ia berbentuk keratan mesej berkaitan dua kes culik di dua kawasan taman perumahan dekat sini. – MalaysiaGazette