KUALA LUMPUR – UMNO Kedah sekarang dilihat semakin malap dan tidak bermaya sehingga tidak mampu melawan gelombang Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya, Dr Muhammad Tawfiq Yaakob berpendapat, jika UMNO mahu kembali segar, mereka perlu membuat perubahan.
Mengakui proses itu memerlukan kecekalan, Muhammad Tawfiq optimis ia mampu dibuat jika UMNO mampu mengetengahkan muka baharu sebagai pemimpin yang dapat mengemudi parti itu di Kedah.
“Keadaan tersebut belum berlaku kerana masih ada muka lama dikekalkan. Tidak ada pemimpin yang mampu menyaingi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Mohd Noor,” katanya kepada MalaysiaGazette menerusi program SKOP MG hari ini.
Muhammad Tawfiq berkata, UMNO Kedah masih jauh ketinggalan untuk berhadapan PN.
“Jika UMNO dapat kemukakan satu pahlawan atau panglima untuk berentap dengan Sanusi, sudah pasti masalah ini dapat diselesaikan.
“Apabila tiada, rakyat Kedah cenderung kepada Sanusi. Apakah Datuk Seri Mahdzhir Khalid mampu lakukan perkara itu?” soalnya.
Dalam pada itu, Muhammad Tawfiq berkata, dengan meletakkan orang luar menjadi Ketua Bahagian UMNO Langkawi juga antara sebab sokongan kepada parti itu semakin mengecil.
“Macam mana orang luar boleh jadi ketua Bahagian di Langkawi? Kenapa perlu bawa dari Pahang atau Kuala Lumpur untuk jadi Ketua Bahagian di Langkawi.
“Perkara ini harus dijelaskan kepada pengundi Kedah kerana saya yakin di Langkawi ada ramai wajah-wajah yang boleh diketengahkan,” katanya lagi.
Tambahnya, membawa calon import ke Langkawi bukan satu jalan penyelesaian sebaliknya ia menyukarkan lagi buat akar umbi parti itu. – MalaysiaGazette