Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad berucap pada Perhimpunan Pergerakan Wanita UMNO ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO mencadangkan supaya kerajaan melakukan kajian menyeluruh berhubung pelaksanaan rasionalisasi subsidi.

Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pendekatan yang berhemah dan berperingkat secara holistik perlu diambil kira bukan sahaja demi bantuan jangka pendek kepada rakyat malah dalam masa yang sama menamatkan kitaran kemiskinan secara total.

“Juga tidak mengabaikan golongan M40, yang terlalu “kaya” untuk layak menerima bantuan, tetapi terlalu “miskin” untuk hidup selesa dalam zaman ekonomi moden ini.

“Wanita UMNO juga menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan semula pendekatan kita terhadap subsidi. Ya, kami faham keperluan untuk mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan,” katanya.

Jelas Noraini, UMNO sebelum ini berjaya membuktikan berjaya membuktikan komitmen membela nasib rakyat daripada aspek ekonomi.

“Sebagai tonggak Barisan Nasional selama berdekad-dekad, UMNO telah menerajui pembangunan negara dan mengangkat taraf hidup rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), KL.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan sedang meneliti keperluan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, buat masa ini tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast