KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO supaya menuntut pucuk pimpinan memberikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota kepada calon sayap pergerakan tersebut.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, legasi penyandangnya sebelum ini iaitu Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain perlu terus dipertahankan.
“Kepada pucuk pimpinan, Wanita UMNO Malaysia menuntut supaya calon dari wanita diberi peluang untuk d ketengahkan.
Takkan tak ada seorang calon wanita pun yang layak.
“Dalam PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14), kita kalah di Mahkota ini. Tetapi ketika PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor, kepimpinan negeri Johor dan juga presiden berani meletakkan kepercayaan kepada calon wanita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia hari ini.
Ujar Noraini, berdasarkan prestasi sebelum ini Wanita UMNO berjaya membuktikan kemampuan merampas kembali DUN berkenaan semasa PRN selepas kalah pada PRU.
“Walaupun kerusi ini bukan mudah untuk dimenangi dan kita bertembung empat penjuru, calon wanita telah berjaya menang dengan majoriti 5,166 undi. Apa lagi hendak dibuktikan lagi,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya jentera wanita UMNO bersiap sedia untuk bekerja lebih keras menuju Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung 28 September.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beberapa calon wanita berada dalam senarai pertimbangannya bagi mendepani PRK itu.
Bagaimanapun senarai akhir belum dimuktamadkan.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian Sharifah Azizah pada 2 Ogos lalu.
Sharifah Azizah sebelum itu dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang selepas mengalami pendarahan dalaman.- MalaysiaGazette