Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin memegang rokok yang dirampas pihaknya di Wisma Kastam Pulau Indah, Pelabuhan Klang, hari ini.

PELABUHAN KLANG – Sindiket penyeludupan rokok putih, kretek dan tembakau yang membuat pengikraran palsu dalam dokumen manifes import sebagai baja ammonium sulfat dan kad bersalut cuba sebagai taktik mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun kegiatan mereka berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II Selangor selepas 15 kontena yang mengandungi pelbagai jenis kontraban itu disita di beberapa lokasi di sini antara Julai hingga Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, hasil pemeriksaan ke atas kesemua kontena bersaiz 40 kaki itu, pihaknya menemukan 150.26 juta batang rokok bernilai RM89.8 juta termasuk cukai.

“Sejumlah 114.26 juta batang rokok putih pelbagai jenama ditemukan dalam 11 kontena di lapangan pemeriksaan di Zon Bebas, Pelabuhan Utara dan Zon Bebas Pelabuhan Barat pada 23 Julai dan 12 Ogos lalu.

“Kesemua rokok putih itu dipercayai tidak mempunyai permit import dan dianggarkan bernilai RM10.94, manakala duti dan cukai yang terlibat dianggar berjumlah RM65.32 juta,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Pulau Indah hari ini.

Dalam operasi berasingan, katanya, pihaknya menemukan 36 juta batang rokok kretek bernilai RM7.19 juta di dalam tiga kontena di Pelabuhan Klang Utara pada 12 Ogos lalu.

“Duti dan cukai untuk kesemua rokok kretek yang ditemukan itu dianggarkan berjumlah RM24.48 juta,” katanya.

Siasatan mendapati kesemua kontena 15 kontena tersebut tiba di sini pada 22 Julai lalu dan dagangan tersebut berasal dari sebuah negara di Asia dan Eropah.

Dalam operasi sama, pihaknya turut menemukan 30 tan tembakau bernilai RM3.18 juta di dalam sebuah kontena yang disita di Pelabuhan Klang Utara, di sini, 12 Ogos lalu.

“Manakala duti dan cukai yang terlibat dalam rampasan tembakau ini dianggar berjumlah RM6.98 juta,” katanya.

Beliau tidak menafikan rampasan produk berasaskan tembakau itu antara yang terbesar yang berjaya dipatahkan pihaknya bagi Zon Tengah Unit II Selangor setakat ini.

“Setakat ini, sebanyak 10 rampasan pelbagai jenis kontraban berjaya dipatahkan JKDM,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast