Mantan Ahli Dewan Negara, Usha Nanthni Jayaram

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes jenayah seperti pembunuhan kejam terhadap wanita dan kanak-kanak sejak kebelakangan ini mengundang pelbagai reaksi serta ketakutan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Menurut mantan Ahli Dewan Negara merangkap bekas Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Usha Nandhini Jayaram, insiden-insiden jenayah yang seperti tidak berhenti itu banyak memberi implikasi kepada rakyat.

Menurutnya, pihak berwajib perlu bersama-sama mengkaji dan menangani isu-isu jenayah yang dilakukan oleh ‘orang biasa’ dengan tahap kekejaman di luar jangkauan.

“Kita masih lagi terkejut dengan insiden kematian Nur Farah Kartini Abdullah seorang graduan UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) dibunuh anggota polis bulan lepas, suspek juga merupakan seseorang yang begitu dekat dengan mangsa.

“Kemudian dalam beberapa hari kita dapat berita pembunuhan lagi sadis tentang seorang guru Istiqomah Ahmad Rozi yang mayatnya ditemui tanpa kepala dalam tong sampah di longkang menjadi episod kejam terbaharu yang mengejutkan negara. Suspek juga adalah kenalan mangsa.

“Selepas itu, ada lagi berita tentang kanak-kanak berusia 10 tahun warga Orang Asli yang dirogol oleh saudaranya sendiri. Begitu juga dengan insiden seorang lelaki bertindak kejam membunuh serta membakar sebuah rumah sehingga mengorbankan ibu, bapa dan anak saudara perempuannya minggu lepas.

“Dua hari lepas di Shah Alam, seorang anak lelaki sanggup tikam ibu sendiri sehingga mati kerana tidak tahan leteran, Begitu banyak kisah dan kes sadis dalam beberapa hari sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata Usha, rakyat semakin hilang rasa perikemanusiaan hingga berkelakuan luar kawalan seperti mengerat anggota badan, rogol bunuh serta membakar kediaman ketika nyawa masih lagi hidup.

Sifat perikemanusiaan semakin hari semakin hilang  sehingga menyebabkan suspek bertindak di luar dugaan atas pelbagai sebab termasuk trauma ketika kecil, ketidakstabilan kewangan dan ekonomi atau tidak dapat mengawal emosi.

“Apakah punca berlakunya sifat sedemikian dalam golongan ini? Hilang perikemanusiaan, empati. Pelik dan menakutkan.

“Sama ada pelaku-pelaku ini sememangnya ada masalah psikologi, mental atau tiada kegentaran dalam melakukan kesalahan sehingga tahap membunuh kerana undang-undang sedia ada ini langsung tidak menakutkan mereka? Kita perlu kaji, jangan ambil mudah.

“Kebanyakan kes-kes ini lebih berkait tentang sifat dendam, tamak, cemburu, marah. Emosi luar kawalan ini yang menyebabkan pelaku melakukan perbuatan tersebut.

“Kadang-kadang ada juga kes langsung tidak dirancang sebenarnya dan berlaku begitu sahaja. Ada juga yang secara sadis merancang sebelum melakukan perbuatan terkutuk ini.

“Jangan biarkan ‘penyakit’ pelik itu melarat sehingga mengakibatkan nyawa seseorang itu melayang,” tegasnya. -MalaysiaGazette