Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hadir pada Acara Menaikkan Bendera UMNO "Sang Saka Bangsa" sempena perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 23 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Usul bagi mendesak pembebasakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan usul paling tinggi diterima dalam Perhimpunan Agung UMNO 2024.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sejumlah 72 bahagian mengusulkan supaya bekas Presiden UMNO itu dibebaskan.

Tegas beliau, usaha untuk melepaskan Najib dari penjara tidak pernah terhenti dan meminta perwakilan memberikan keyakinan penuh kepada kepimpinan tertinggi untuk berbuat demikian.

“Menerima 171 usul, usul tertinggi yang diperoleh 72 bahagian, untuk terus menuntut keadilan dan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sesungguhnya selagi Bossku terperangkap di sebalik tirai besi, suara dan ikhtiar UMNO tidak akan pernah terhenti, malah berikanlah kepercayaan dan keyakinan penuh kepada kepimpinan tertinggi,” kata Asyraf Wajdi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Bagaimanapun menurut Asyraf Wajdi, UMNO tidak mempunyai kuasa untuk membebaskan Najib dan meminta perwakilan terus berdoa kepada Allah.

“Justeru saya memohon supaya kita terus berjuang, kerana doa inilah senjata kita.

“Semoga Allah melembutkan hati dan membukakan jalan. Agar pembebasan Datuk Seri Najib ini berlaku akhirnya mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Hakikatnya kuasa bukan di tangan kita, tetapi iman kita tetap meyakini bahawa Allah pemilik hati akhirnya, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu Asyraf Wajdi berkata, dalam tempoh 20 bulan berada dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO terus memainkan peranan signifikan dan tidak boleh diperlekehkan oleh mana-mana pihak.

Ini termasuk dalam menstabilkan politik dan mencetuskan dasar-dasar awam yang memanfaatkan rakyat tanpa mencairkan agenda dan prinsip dalam memperjuangkan Islam, Raja-Raja, Melayu dan Bumiputera.

Sehingga 31 Julai lalu, jumlah keahlian UMNO kini bertambah kepada 3,447,445 orang.-MalaysiaGazette

 

 

2 Komen

  1. satu2 nya parti politik yang membela ahlinya apa lagi boss besar nya hingga sanggup mati . rakyat sedang memerhati pun atau parti bersatu adakah ia sama dengan UMNO . peringkat awal dah nampak parti tidak akan bela pengerusinya yang bersalah tentang 3r . kita perhatikan sama2

Comments are closed.