Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani

BATU PAHAT – Polis menahan seorang guru ngaji kerana didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah pusat mengaji al-Quran di Parit Raja di sini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, suspek yang berusia 23 tahun itu ditahan pukul 10.19 malam, pada 21 Ogos lalu di Yong Peng, dekat sini.

“Sebelum itu pihak polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 42 tahun yang juga ayah kepada kanak-kanak berusia lapan tahun berkaitan kejadian yang berlaku pada petang hari sama.

“Menurut pengadu, anaknya yang berusia enam dan lapan tahun datang untuk belajar mengaji al-Quran di pusat mengaji di Parit Raja pada petang 21 Ogos.

“Ketika sedang mengikuti kelas mengaji itu, guru kelas mengaji (suspek), seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun telah membawa kanak-kanak berusia lapan itu masuk ke dalam bilik air tempat kelas mengaji tersebut dengan tidak membenarkan adiknya ikut sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Shahrulanuar lagi, setelah pengadu bertanya anaknya yang dalam keadaan trauma, mangsa kemudiannya mengaku suspek membawanya ke dalam bilik air tempat kelas mengaji itu dan melakukan perbuatan amang seksual terhadapnya.

Ujarnya, susulan daripada penahanan itu, suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai 22 hingga 28 Ogos untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu kesalahan amang seksual fizikal atas kanak-kanak.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi (20) tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.- MalaysiaGazette