KUALA LUMPUR- Sebanyak 21 jalan utama di sekitar Putrajaya akan ditutup selama enam jam setiap hari bermula 5 pagi pada 26 hingga 29 Ogos ini bagi memberi laluan raptai sambutan Hari Kebangsaaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata antara jalan terlibat ialah Lebuh Wawasan/Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Bestari/Jalan Tun Abdul Razak, Jalan P2K/Persiaran Perdana, Jalan Pembangunan/Persiaran Perdana dan Jalan PC/Persiaran Perdana.
Beliau berkata pada 30 Ogos penutupan jalan bermula 7 petang melibatkan laluan ke Core Island dan 10 jalan utama akan ditutup sepenuhnya pada 31 Ogos bermula 5 pagi sehingga acara sambutan selesai.
“Laluan yang terlibat termasuk Persiaran Barat dan Lebuh Sentosa (arah Lebuh Saujana), Lebuh Sentosa dan Jalan Presint 8 (arah Lebuh Wawasan), Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah susur ke Laman Perdana, Jalan Presint 18 (arah Lebuh Bestari), Jalan Presint 18, Lebuh Setia dan Lebuh Saujana (arah Jalan Tun Hussein) serta Jalan Presint 5 (arah Lebuh Gemilang Perdana),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Rusdi turut memaklumkan pihaknya akan menjalankan Op Pencegahan Jenayah di sekitar ibu kota sempena ambang Hari Kebangsaan.
Beliau berkata operasi berkenaan akan memberi fokus kepada pemantauan di lokasi ‘hot spot’ dan tempat tumpuan ramai selain mencegah serta membanteras kegiatan jenayah di sekitar ibu negara.
“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Kuala Lumpur juga akan menguruskan kawalan lalu lintas di beberapa lokasi melibatkan sekitar Dataran Merdeka, KLCC, Bukit Bintang dan Tun Razak Exchange yang akan menjadi tumpuan utama para pengunjung,” katanya.
— BERNAMA