Sidang media Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif

KUALA LUMPUR- Kawasan sekitar Masjid India masih selamat dan terkawal walaupun berlaku insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India sehingga mengakibatkan seorang wanita warga India tertimbus di dalam pada 8 pagi Jumaat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, tahap keselamatan kawasan tersebut disahkan sendiri oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga sentiasa melakukan pemantauan berkala meskipun kejadian sama pernah berlaku di lokasi sama pada tahun lalu.

“Buat masa sekarang kawasan ini selamat dan tidak ada masalah atau sebab untuk kita (DBKL) perlu menutup kawasan ini.

“Malah aktiviti perniagaan boleh beroperasi seperti biasa dan diteruskan esok serta peniaga tidak perlu bimbang dengan insiden terkini ini.

“Selain itu, tiada sebarang aktiviti pengorekan tanah berlaku di kawasan sekitar Masjid India,” katanya selepas turun meninjau operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah jerlus, malam tadi.

Tambah Maimunah, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan pagi tadi, pihaknya membuat semakan jajaran utiliti bawah tanah di sekitar kawasan kejadian sebelum mengesan laluan paip kumbahan bersaiz 1.5 meter diameter.

Katanya, hasil daripada semakan itu mendapati, proses pengesanan mangsa pada jajaran saluran paip kumbahan dilakukan sejak jam 4 petang tadi namun sehingga kini mangsa masih gagal ditemui.

“Buat masa ini kami (DBKL), bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergerak sebagai satu kumpulan bekerja keras untuk mencari dan seterusnya menyelamatkan mangsa,” katanya.

“Saya ucapkan simpati kepada keluarga mangsa, difahamkan mangsa dan suaminya akan berlepas pulang ke India, esok. Ki

ta akan memberikan segala bantuan kepada keluarga mangsa termasuk keperluan tempat tinggal di sini sepanjang operasi mencari dilakukan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette