KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Hospital UMS (HUMS) terus menggiatkan usaha meningkatkan kesedaran berkaitan kesihatan mata dan telinga menerusi inisiatif penganjuran Program Komuniti Sihat Melihat dan Mendengar (KoSiMM).
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, Program KoSiMM yang dilaksanakan sejak tahun 2021 telah memberikan impak signifikan kepada peningkatan taraf kesihatan komuniti luar bandar di Sabah.
“Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam komuniti tentang peri pentingnya pemeriksaan kesihatan terutamanya mata dan telinga secara berkala untuk mencegah masalah kesihatan yang lebih teruk.
“Selain itu, program ini turut menyediakan akses mudah pemeriksaan awal mata dan telinga dalam komuniti untuk mengenal pasti masalah pada peringkat awal, seterusnya merujuk kepada pakar sekiranya perlu.
“Alhamdulillah, UMS dan Hospital UMS mendapat maklum balas yang sangat positif berhubung dengan penganjuran program ini,” katanya dalam teks ucapan perasmian program tersebut yang disampaikan oleh wakil beliau, Penasihat Undang-Undang UMS, Awang Suhaizam Bungso di Pusat Islam UMS.
Beliau memaklumkan, menerusi program tersebut, seramai 10 pelajar dari SK Rampayan akan menerima bantuan kaca mata, selain tiga pesakit dari Hospital Queen Elizabeth yang mengalami masalah pendengaran yang akan menerima alat bantuan pendengaran.
“Saya juga difahamkan staf HUMS akan ke Pulau Mantanani bagi program jangkauan (outreach) untuk pelajar dan penduduk di sana.
“Melalui program ini dan saringan yang dilakukan, kaca mata dan alat bantu dengar boleh disumbangkan lebih awal kepada komuniti tanpa perlu menunggu bantuan kerajaan seperti dari JPA, Kebajikan ataupun Zakat.
“Hal yang demikian kerana apabila masalah kurang dengar dikesan lebih awal, intervensi dan terapi dapat dilakukan segera agar perkembangan pendengaran dan pertuturan tidak terganggu,” katanya.
Tambah Kasim, usaha sebegini dapat memastikan golongan kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran tidak tercicir dalam pendidikan.
“Kolaborasi pihak HUMS bersama Kelab Surirumah dan Staf Wanita UMS (KESUMBA), Sekolah Kebangsaan Pulau Mantanani, dan pihak JSK Mantanani Island Resort diharap dapat memberikan impak yang baik kepada semua.
“Saya percaya, keberhasilan program ini tidak mungkin tanpa usaha bersama dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak,” ujar beliau. – MalaysiaGazette