Toh Puan Na’imah Abdul Khalid

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid mendapatkan sementara pasport miliknya untuk ke luar negara.

Difahamkan wanita korporat itu mahu ke China atas urusan kerja antara 28 Ogos hingga 9 September ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membenarkan permohonan itu setelah pendakwaan tidak membantah perkara tersebut pagi ini.

Sebelum ini, Na’imah pernah cuba mendapatkan pasport miliknya secara kekal di Mahkamah Tinggi pada bulan Mac lepas namun ditolak.

Pada awal tahun ini, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini kerana gagal mengisytiharkan 12 harta seperti yang dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Disember 2023.

Antara harta itu ialah Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua kenderaan mewah Mercedez Benz, kediaman di Pesiaran Bukit Tunku serta tanah dan bangunan berstatus pegangan bebas di Bukit Tunku, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail. -MalaysiaGazette