Antara jenama yang menyertai misi perniagaan KUSKOP di London, baru-baru ini. Gambar MFA

KUALA LUMPUR – Misi Perniagaan Khas Francais Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop ) ke London berpotensi meraih pelaburan melebihi RM34 juta.

Misi tersebut diketuai oleh Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad, Ketua Setiausaha Kuskop pada 13 hingga 17 Ogos lalu disertai lapan usahawan francais Malaysia iaitu syarikat UCMAS, Little Caliph, Marrybrown, Global Art, CIC Where Leaders Are Born, Q-Dees, Beard Brothers dan EL&N.

Pemilihan syarikat berdasarkan potensi untuk mengembangkan perniagaan di United Kingdom menerusi kerjasama strategik antara Persatuan Francais Malaysia (MFA), Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK) dan Ireland Utara.

Antara pengisian misi ini adalah pertemuan dengan pihak industri, diaspora Malaysia dan Malawakil Malaysia di London, lawatan kerja ke Battersea, syarikat francais Café EL&N milik syarikat UK yang mempunyai cawangan EL&N di Malaysia serta Meet Bros Steakhouse iaitu usahawan francais Malaysia yang telah beroperasi di United Kingdom.

Selain itu, perbincangan meja bulat bersama lapan usahawan syarikat francais turut diadakan bagi merangka strategi potensi francais di UK.

Lawatan kerja ini penting dalam memperkukuhkan hubungan perniagaan antara Malaysia dan UK khususnya dalam meluaskan jaringan perniagaan francais Malaysia ke pasaran Eropah.

“Kami berharap dengan adanya kerjasama strategik ini, usahawan francais Malaysia akan dapat memanfaatkan peluang-peluang yang tersedia untuk berkembang lebih jauh di peringkat global.

“Lawatan ini bertujuan membuka ruang perbincangan yang lebih mendalam antara usahawan Malaysia dan UK serta mencari jalan untuk memanfaatkan potensi dan peluang pasaran di kedua-dua negara,” kata Suriani.

Beliau menambah, Kuskop komited untuk terus membantu usahawan Malaysia terutama dalam menyediakan kemudahan dan sokongan yang diperlukan bagi menembusi pasaran antarabangsa.

Misi perniagaan ini juga dapat meningkatkan persefahaman antara kedua-dua negara dalam usaha untuk terus merancakkan sektor francais dan perniagaan secara keseluruhannya selaras dengan hasrat Malaysia Madani di bawah tonggak nilai kesejahteraan. – MalaysiaGazette