Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhammad Akmal Salleh bercakap di Program Skop MG ketika tinjauan Malaysia Gazette di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Perpecahan orang Melayu pada masa ini bukan lagi cerita kecil, malah dengan kewujudan pelbagai parti sedikit sebanyak memecahkan lagi sokongan orang Melayu di negara ini.

Jika dahulu, hanya dua parti Melayu iaitu UMNO dan Pas, kemudian wujud Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga ada orang Melayu kemudian DAP membuka keahlian kepada kaum Melayu dan Bumiputera.

Demokrasinya Malaysia kerana bukan hanya ada pelbagai kaum malah dari sudut politik juga sudah berpecah kepada banyak cabang yang mana, majoriti Melayu kini menjadi minoriti jika diukur daripada sudut sokongan politik.

Sembilan tahun lalu, wujud satu lagi parti yang majoriti Melayu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang rata-rata adalah mereka yang keluar daripada UMNO.

Ada lagi parti-parti kecil seperti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Bangsa Malaysia yang juga ada Melayu di dalamnya.

Parti-parti ini dengan ideologi dan hasrat yang hampir sama, iaitu memastikan semua kaum di Malaysia termasuk Melayu tidak terkebelakang.

Namun sebesar mana langkah parti-parti Melayu ini?

Sebelum ini ada gabungan Muafakat Nasional yang dilihat antara usaha terbaik penyatuan ummah, namun ia semakin suram dan akhirnya tidak ke mana.

Jika tujuan dan hasrat yang sama, tidak bolehkah ada gabungan untuk memastikan bangsa Melayu terus kukuh di Malaysia?

Justeru, tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang sanggup menghulur tangan untuk penyatuan semua parti-parti Melayu ini dilihat sebagai usaha yang baik.

Ketuanya, Dr Muhammad Akmal Salleh berkata, UMNO harus berani menjadi tunjang kepada penyatuan Melayu di negara ini.

“Bagi pihak Pemuda UMNO Malaysia, kami sudi menghulur tangan untuk semua parti-parti politik Melayu bersatu di bawah payung besar UMNO.

“Sudah tentu rakyat melihat bukan hanya hari ini, tetapi masa depan dan untuk itu pastinya mereka akan tengok pemuda dalam sesebuah parti.

“Ada satu tujuan yang jauh lebih besar iaitu Melayu-Islam itu kembali bersatu,” katanya kepada MalaysiaGazette menerusi program SKOP MG.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Melayu-Islam di negara ini tidak lagi dipecah-pecahkan.

“Apabila berpecah maka ia satu kerugian besar buat agama dan bangsa itu sendiri.

“Saya berharap dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini, dapatlah semua orang Melayu-Islam bersatu semula tanpa mengira parti.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast