Anggota unit skuba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta giat menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa seorang pelancong warga India yang terjatuh akibat mendapan tanah di Masjid India, Kuala Lumpur, pagi tadi. Foto SADIQ SANI, 23 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Fokus pencarian mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India kini ditumpukan pada kawasan saluran pain kumbahan bawah tanah di lokasi kejadian.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Nordin Pauzi berkata, tumpuan akan diberikan usaha mencari dan menyelamat di saluran kumbahan berkenaan sebelum skop pencarian diperluas ke lokasi lain.

“Kita juga akan berhubung dengan pihak Indah Water Konsortorium (IWK) kerana saluran kumbahan ini adalah satu hala dan kita akan cuba kesan melalui perangkap-perangkap sedia ada yang berkemungkinan mangsa ada di situ.

“Pihak kami juga difahamkan saluran kumbahan ini berakhir di satu loji di Lembah Pantai dan kita akan meneliti kawasan itu juga untuk tindakan selanjutnya,” katanya semasa sidang media di lokasi kejadian, malam ini.

Menurut Nordin, khidmat Unit Skuba terpaksa digunakan walaupun air tidak dalam namun ia tetap mengundang risiko.

“Usaha ini dilakukan selepas kemungkinan terdapat sedikit kebocoran atau serpihan yang membolehkan air keluar daripada lubang itu.

“Jadi di tempat saluran yang pecah itu kita akan buat size-up (periksa) sekiranya anggota boleh masuk kemungkinan kita boleh buat pencarian dan menemui sesuatu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif turun mendapatkan perkembangan terkini misi pencarian mangsa di lokasi kejadian tersebut.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Tiada aktiviti korekan sekitar lokasi tanah jerlus