KUANTAN – Kelibat seorang wanita tidak dikenali berlegar-legar di beberapa kawasan perumahan di Indera Mahkota dan Taman Tas, di sini menimbulkan keresahan penduduk setempat.
Kebimbangan disuarakan seorang pengguna di laman Facebook Warga Kuantan OFFICIAL dikenali sebagai Tok Batin Shah sejak semalam yang turut mendapat 129 perkongsian semula.
Dia berkata, setiap kali muncul, wanita itu dilihat membawa sebatang payung, mengetuk pintu rumah penduduk dan minta agar diberikan RM100 atau RM150.
Dalam hantarannya, pengguna mendakwa wanita itu berkemungkinan juga cuba memukau mangsanya agar menyerahkan wang yang diminta itu.
Justeru orang ramai dinasihati agar tidak membuka pintu rumah kepadanya.
Sementara itu, pengguna yang dikenali sebagai Saerah Jalil mengakui pernah berdepan dengan wanita itu. Katanya, wanita tersebut merayu agar dia meminjamkannya wang untuk membawa anaknya ke hospital.
“Before ni perempuan ni berlegar-legar dekat kawasan IM2, Taman Yew Hong. Datang rumah menangis merayu minta tolong sebab katanya dia bekerja tapi belum dapat gaji. Suami dia tak kerja, suami baran kaki pukul, anak tak minum susu lama, pampers pun tiada,” kata seorang pengguna dikenali sebagai Nik Surianie.
Jelas Nik Surianie, dia terserempak dengan wanita itu pada April lepas dan dimaklumkan wanita itu tinggal berhampiran kawasan rumahnya.
Kerana kasihan dengan alasan diberikan wanita itu, Nik Surianie memberitahu ibunya telah menghulurkan sedikit wang untuk membantunya.
“Demand betul dia minta RM100. Tapi sampai kesudah tak datang pulang duit dipinjam. Hari sama juga adik saya nampak dia (wanita berpayung) pecut naik Honda putih,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian tersebut dan mengingatkan orang ramai agar memaklumkan perkara terbabit kepada balai polis berdekatan.
“Pohon untuk memaklumkan kepada balai yang berdekatan atau terus membuat laporan polis jika didatangi oleh individu tersebut atau mana-mana individu yang berkemungkinan akan melakukan jenayah,” katanya. – MalaysiaGazette.