Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said bercakap kepada media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Penerangan UMNO akan menawarkan modul latihan komunikasi digital untuk melatih lebih ramai jentera penerangan peringkat akar umbi berupaya memahami propaganda dan menghasilkan kandungan digital positif  berkualiti.

Ketuanya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif itu juga supaya ahli-ahli UMNO dapat menarik perhatian rakyat serta menyebarluaskan mesej-mesej parti dengan lebih efektif.

Menurut beliau, pihaknya juga akan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (Al) untuk mengenal pasti trend dan sentimen pengundi dengan lebih tepat dan bersasar.

Jelasnya, teknologi AI itu akan membantu dalam menyusun strategi komunikasi yang lebih berkesan dan responsif terhadap perubahan persepsi rakyat.

“Penerangan UMNO juga akan melancarkan kempen digital secara bersepadu dan strategik dengan memanfaatkan pelbagai platform media sosial terkini dan mempelbagaikan bentuk kandungan yang sentiasa releven dengan tren semasa seperti siri podsiar #HitamPutihkelabu (HPK) dan chatbot yang dijana oleh Al boleh menjelaskan isu-isu semasa pada bila-bila masa sahaja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 hari ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa Penerangan UMNO memberi penekanan khusus kepada penguasaan politik digital.

Menurut Ahmad Zahid, era politik kini berada dalam fasa ‘politik handphone’ sekali gus memerlukan Penerangan UMNO mengambil inisiatif untuk memastikan parti terus berdaya saing dalam peperangan persepsi yang semakin sengit.

Dalam pada itu, Azalina melahirkan keyakinan inisiatif-inisiatif oleh Penerangan UMNO tersebut dapat mengukuhkan lagi kedudukan dan mengangkat imej parti terutama dalam landskap politik digital.

“Ini seterusnya memenangi hati rakyat terutamanya generasi muda yang menjadi penentu masa depan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast