Tertuduh Mohd Ridzuan Zamri dijatuhi hukuman 24 bulan penjara, denda RM3,500 dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Melaka hari ini.

MELAKA – Seorang pesakit jantung dijatuhi hukuman 24 bulan penjara dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Melaka di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan mencuri duit kutipan tabung masjid sejak bulan lalu.

Majistret Khairunissak Hasni menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh, pekerja kedai cuci kenderaan, Mohd Ridzuan Zamri, 34, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang telah mencuri hasil kutipan di empat buah masjid dan sebuah madrasah kesemuanya dalam daerah Melaka Tengah antara 25 Julai hingga 1 Ogos lalu.

Kesalahan itu dilakukan di Masjid Al Wahhab Permatang Duyong, Masjid Ar Rabbani, Masjid Al- Hakim Pengkalan Renggam Kampung Kandang, Madrasah Al Hidayah Kampung Padang Semabok dan Masjid Raudhatul Jannah, Bukit Katil.

Tertuduh turut mengaku bersalah mencuri sebuah telefon bimbit jenama Vivo Y16 berharga RM800 milik seorang wanita berusia 44 tahun di sebuah rumah beralamat di Pangsapuri Sri Siantan dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2 pagi 29 Julai lalu.

Sabit kesalahan mencuri, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan juga dikenakan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan pecah bangunan.

Seksyen 457 kanun memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda.

Jika kesalahan yang dimaksud hendak dilakukan iaitu kesalahan mencuri maka tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan kesalahan kali kedua boleh dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan hukuman berat dikenakan ekoran tertuduh melakukan kesalahan berulang.

Hujahnya lagi, semakan di Pusat Pendaftaran Penjenayah mendapati tertuduh juga mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau termasuk mencuri.

Peguam, Nigel Tai yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon anak guamnya yang menghidap penyakit jantung dan asma kronik dikenakan hukuman ringan kerana kesalahan itu melibatkan kerugian kecil antara RM50 hingga RM100 bagi setiap perbuatan.

Tertuduh yang bekerja sebagai pencuci pusat kenderaan juga  perlu menanggung isterinya yang sedang menjalani pembedahan serta menyara anak yang masih bersekolah.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret Khairunnisak memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara keseluruhan berjumlah 24 bulan bermula dari tarikh ditangkap.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dikenakan denda RM3,500 atau enam bulan jika gagal bayar bagi semua pertuduhan dan turut dikenakan satu sebatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast