KUALA LUMPUR – MCA menyifatkan semangat Barisan Nasional (BN) begitu terasa dan menonjol dalam Perhimpunan Agung UMNO 2024 kali ini.
Lebih-lebih lagi selepas parti itu mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri.
Menurut Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siang, beliau dapat merasakan Ucapan Dasar Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi begitu menekankan hubungan antara parti komponen.
“Kita dalam satu keluarga, sentiasa berunding, bermesyuarat apa sahaja masalah. Kita lihat dalam konteks Perikatan Nasional (PN) dahulu kita tak membicarakan sesuatu masalah cara terbuka.
“Lebih kepada perbincangan hati ke hati antara parti dan elok kita mendengar pandangan sebegitu, kita dalam satu keluarga kita memahami perasaan pihak yang satu lagi.
“Kali ini semangat BN sangat terasa di mana kita sesama sendiri dalam ucapan membicarakan tentang hubungan pelbagai hala dalam BN itu sendiri. Perkasakan BN itu saya rasa merupakan satu keutamaan kita,” jelas Ka Siong.
Presiden MCA itu diminta menggulas ucapan Ahmad Zahid bahawa beliau menyedari ada kalangan parti dalam BN yang kecil hati terhadap UMNO.
Ahmad Zahid juga mahu menyusun semula komponen itu selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Ka Siong berkata, tidak timbul sebarang persoalan sama ada BN perlu bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.
Menurutnya, sejak dahulu beliau menekankan perlu ada prinsip BN first dengan setiap parti komponen memperkukuhkan kekuatan masing-masing dan melihat BN sebagai entiti penting.
“Jaga keluarga kita dahulu, sepatutnya BN first. Kita bertanding atas tiket BN. Bagi kita BN satu parti, apa sahaja senario yang telah kita lalui proses itu pada 2018, 2020 dan pilihan raya kecil.
“Dalam keadaan sekarang, kita dukung prinsip demokrasi dan tanggungjawab kepada rakyat itu penting. Sebagai satu parti, kita kena bergerak dengan falsafah sama-sama makmurkan parti komponen baru kita boleh mempersiapkan diri untuk berdepan cabaran,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan tidak timbul persoalan sama ada MCA akan setia kepada BN dan Kerajaan Perpaduan kerana parti itu bersama-sama membentuk BN sejak awal kewujudannya.-MalaysiaGazette