BANGKOK- Thailand merekodkan kes pertama virus Mpox di Asia selepas seorang lelaki Eropah disahkan positif virus berkenaan setelah tiba di Bangkok, minggu lepas.

Menurut Jabatan Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Awam, lelaki yang tiba dari Afrika itu disahkan positif varian clade Ib.

Susulan itu, pihak berwajib telah mengenal pasti 43 kontak rapat lelaki berusia 66 tahun itu dan meletakkan mereka di bawah pemantauan.

Kesemuanya akan dipantau bagi mengenal pasti sebarang simptom dalam tempoh 21 hari serta diarahkan untuk pergi ke hospital sekiranya mengalami demam, ruam atau bengkak kelenjar.

Tambah Kementerian itu lagi, lelaki berkenaan mempunyai gejala yang boleh dikaitkan Mpox telah dimasukkan ke hospital 16 Ogos lalu, sehari selepas dia tiba di Bangkok.

Ujian makmal pada Khamis mengesahkan dia dijangkiti varian clade Ib dan Thailand akan melaporkan keputusan tersebut kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Thailand yang merupakan negara yang sangat bergantung kepada industri pelancongan itu berkata, ia akan meningkatkan pemantauan dan melakukan saringan ketat di semua pintu masuk antarabangsa termasuk di lapangan terbang Suvanarbhumi.

Para pengembara dari 42 negara yang dilanda wabak Mpox diwajibkan mendaftar dengan Kementerian Kesihatan menerusi dalam talian sebelum berlepas ke Thailand.

Mereka juga perlu menjalani saringan kesihatan sebaik mengikut protokol antarabangsa sebaik tiba di negara itu.- Bangkok Post