Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sedang giat menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang merupakan seorang pelancong warga India yang terjatuh akibat mendapan tanah di Masjid India, Kuala Lumpur, pagi tadi. Foto SADIQ SANI, 23 OGOS 2024

KUALA LUMPUR- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan tiada aktiviti korekan di sekitar lokasi tanah jerlus dekat Jalan Masjid India.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, pihaknya mendapati ada laluan paip kumbahan bersaiz 1.5 meter diameter di lokasi terbabit.

Sehubungan itu menurut beliau, pihak Indah Water Konsortium telah berada di lokasi untuk membantu DBKL dan bomba dalam usaha mencari mangsa yang hilang.

“Sementara itu, DBKL telah menempatkan jentera – jentera dan anggota penyelamat bagi membantu pencarian ini.

“Saya juga  telah bertemu dengan suami mangsa di lokasi kejadian dan menzahirkan rasa sedih dan simpati atas kejadian yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan malam ini. -MalaysiaGazette