Gambar hiasan

PEMODELAN Maklumat Bangunan (BIM) merupakan teknologi yang semakin mendapat perhatian dalam industri pembinaan dan pengurusan fasiliti. BIM adalah proses yang melibatkan penciptaan dan pengurusan maklumat digital mengenai aset bangunan sepanjang kitaran hayatnya. Dalam konteks pengurusan bangunan kerajaan, aplikasi BIM boleh memberikan manfaat yang besar seperti meningkatkan efisiensi pengurusan fasiliti, mengurangkan kos operasi, dan memperbaiki kualiti perkhidmatan. Terdapat beberapa halangan yang perlu diatasi dalam memastikan penggunaan teknologi ini dapat dilaksanakan dengan berkesan. Tidak dinafikan teknologi ini memerlukan kos yang mungkin sangat tinggi. Penggunaan BIM memerlukan pelaburan awal yang tinggi kerana melibatkan perisian yang canggih dan memerlukan latihan yang khusus. Ironinya, agensi-agensi kerajaan yang cenderung dalam melaksanakan pendekatan ini sering kali berdepan dengan kekangan bajet. Jelas, ia akan menjadi halangan terbesar dalam pelaksanaan teknologi baharu.

Justeru, pengenalan kepada sistem yang menggunakan teknologi terkini seperti BIM ini memerlukan perubahan budaya dalam organisasi. Perubahan budaya ini menjadi sulit kerana terdapat kecenderungan untuk menolak perubahan di kalangan kakitangan. Hakikat ini tidak dapat disangkal kerana ramai yang sudah terbiasa dengan cara kerja tradisional dan umumnya menolak sebarang bentuk inovasi baru. Penolakan ini jelas berlaku di kalangan kakitangan awam yang telah lama berada di dalam zon selesa. Ia menyumbang kepada kurangnya tenaga pakar di dalam kalangan kakitangan pengurusan fasiliti sesebuah agensi kerajaan.

Ini kerana, BIM memerlukan kepakaran khusus yang mungkin tidak dimiliki oleh kebanyakan kakitangan pengurusan fasiliti dalam kerajaan. Selain itu, persaingan antara pembangun aplikasi BIM mewujudkan masalah keserasian sistem kerana perbezaan standard dan masalah kebolehoperasian. Penggunaan standard terbuka dan kerjasama industri dapat membantu mengatasi masalah ini. Jelas, bagi memastikan integrasi BIM dengan sistem pengurusan fasiliti yang sedia ada dapat direalisasikan, ia memerlukan usaha tambahan untuk memastikan semua sistem berfungsi dengan baik. Masalah pemilikan dan kebimbangan keselamatan data juga antara halangan yang perlu diberikan perhatian kerana pelbagai pihak akan berkongsi maklumat dalam menggunakan BIM.

Tambahan pula, dengan wujudnya pelbagai trend terkini global seperti transformasi digital, dan pembangunan lestari, boleh menghalang dan memperlahankan proses pelaksanaan BIM dalam sektor kerajaan. Ini kerana trend global ini sudah pasti mewujudkan cabaran baru dalam mengagihkan sumber kewangan, integrasi yang bertambah kompleks, pematuhan peraturan-peraturan baru, jurang kemahiran tenaga kerja, dan keperluan memenuhi piawaian alam sekitar yang ketat, meningkatkan kerumitan dan kos penerapan BIM. Di sebalik halangan-halangan ini, terdapat banyak manfaat sekiranya penerapan BIM dalam pengurusan fasiliti bangunan kerajaan dilaksanakan dengan baik. Antaranya adalah peningkatan kecekapan operasi pengurusan fasiliti. BIM akan dapat membantu dalam pengurusan data yang lebih efisien dan memberikan gambaran yang jelas mengenai status nyata setiap elemen dalam bangunan. Sudah pasti akan membolehkan pelaksanaan pengurusan fasiliti yang lebih terancang dan responsif. Melalui kecekapan operasi ini, kesilapan-kesilapan yang melibatkan reka bentuk dapat dikurangkan dan meningkatkan keberkesanan operasi. Jelas, ia dapat membantu mengurangkan kos keseluruhan pengurusan fasiliti.

Di sisi lain, ia juga dapat membantu dalam perancangan penyelenggaraan pencegahan, yang akan dapat mengelakkan kos pembaikan yang tinggi. Justeru, fokus dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan penyampaian kerajaan akan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Melalui BIM, maklumat yang tepat dan terkini mengenai bangunan dapat disediakan untuk kegunaan pengguna bangunan. Selain itu, BIM juga akan dapat membantu dalam mengurus sumber tenaga dan air yang lebih baik dan mampan. Sebagai usaha mencapai hasrat ini, beberapa inisiatif perlu dilaksanakan. Antaranya menyediakan latihan yang mencukupi untuk kakitangan pengurusan fasiliti mengenai penggunaan BIM. Kerajaan juga perlu memperuntukan bajet khusus untuk melaksanaan BIM secara perantis di beberapa agensi kerajaan sebagai pemula. Melalui projek perantis di beberapa bangunan kerajaan terpilih, ia boleh membantu dalam menilai keberkesanan BIM sebelum diperluaskan ke bangunan kerajaan yang lain. Ini juga boleh menjadi platform untuk mengenal pasti dan mengatasi cabaran awal.

Pihak kerajaan juga perlu lebih proaktif dalam menjalinkan kerjasama dan perkongsian kepakaran dengan institusi pendidikan dan sektor swasta. Perkongsian ini juga boleh membantu dalam pemindahan teknologi dan pengetahuan. Selain itu, penyediaan standard dan garis panduan yang jelas untuk penggunaan BIM dalam pengurusan fasiliti bangunan kerajaan adalah penting. Ini akan membantu dalam memastikan keseragaman dan kualiti dalam pelaksanaan BIM. Rumusannya, aplikasi BIM dalam pengurusan fasiliti bangunan kerajaan menawarkan potensi yang sangat besar untuk meningkatkan kecekapan operasi, penjimatan kos, dan memperbaiki kualiti perkhidmatan kepada pengguna bangunan kerajaan. Walaupun terdapat banyak cabaran dan halangan yang perlu diatasi, dengan perancangan dan pelaksanaan yang teliti, kerajaan dapat memanfaatkan teknologi ini dalam mengurus fasiliti kerajaan dengan lebih baik dan mampan.

Profesor Madya Sr Dr. Irwan Mohammad Ali
Kolej Pengajian Alam Bina
Universiti Teknologi MARA, Cawangan Perak

Sr. Ts. Norashikin Akhiar@Khairuddin
Juruukur Bangunan
Ibu Pejabat JKR Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast