KUALA LUMPUR – “Ibu di mana kamu? Tolonglah cari,selamatkan ibu saya,” demikian rayuan anak sulung mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini.
Pemuda yang dikenali sebagai Surya, 26 tahun dilihat menangis dan menjerit dengan kuat sebaik tiba di lokasi kejadian kerana tidak dapat menahan perasan bimbang kehilangan ibu tercinta.
Difahamkan, baru sahaja tiba dari Thailand bergegas ke tempat kejadian kira-kira pukul 9.20 malam tadi sejurus mendengar berita mengenai ibunya.
Lelaki yang memakai kemeja putih itu kemudiannya ditenangkan oleh bapanya Mathavan berusia 40-an dan beberapa ahli keluarga lain.
Terdahulu, mangsa Vijayaletchumi, 48, difahamkan datang melancong ke Malaysia dan dijangka pulang ke negara asalnya esok.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff turut melawat lokasi kejadian sekitar jam 8 malam dan sempat bercakap kepada suami mangsa tanah jerlus.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mangsa dipercayai dibawa oleh arus deras bawah tanah.
Katanya, operasi mencari dan menyelamatkan mangsa telah meliputi kawasan hujung bawah tanah dan ia memerlukan perancangan rapi kerana membabitkan infrastruktur awam.-MalaysiaGazette