Datuk Othman Desa

KUALA LUMPUR – Ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 membawa mesej sekarang masa terbaik untuk parti kembali bangkit berjuang.

Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi ketegasan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam menyentuh isu-isu kritikal khususnya berkaitan hala tuju parti tersebut.

Ujar beliau, ketegasan itu sekali gus dapat memberi panduan kepada akar umbi UMNO menjelaskan pendirian parti kepada rakyat berhubung realiti politik semasa terutama berkenaan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Seperti ditegaskan Presiden UMNO, kerjasama dalam politik itu sudah menjadi amalan dan UMNO boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk kebaikan negara dan rakyat.

“Kita tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak suka dengan prinsip perjuangan kita, sebab itu UMNO sebenarnya tidak pernah lari daripada perjuangan kita apabila kita bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi wawancara bersama portal UMNO Online hari ini.

Dalam pada itu, Othman berkata, kemenangan UMNO pada Pillihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri membuktikan parti itu masih ada tempat dan mendapat sokongan orang Melayu.

Sehubungan itu, beliau menggesa ahli-ahli UMNO mengambil semangat kemenangan tersebut serta ketegasan Ahmad Zahid pada PAU 2024 untuk bekerja lebih kuat mendekati rakyat.

“Di PRK Nenggiri, saya nampak akhlak dan kesungguhan politik pemimpin UMNO itu lebih baik daripada pemimpin pembangkang.

“Ini menunjukkan kalau pemimpin UMNO bagus dan ikhlas bekerja serta tidak sombong dengan rakyat, saya yakin rakyat akan kembali kepada UMNO, jadi itu menjadi tugas kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast