Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh, Melaka.

MELAKA – Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan mengigit hidung jirannya hingga cedera kerana bunyi bising ketika mengubah suai rumah Januari lalu.

Tertuduh, Adrienne Liew Siew Wern, 37 bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didapati dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Lau Siong Ping, 40, dengan cara mengigit hidung mangsa.

Difahamkan, kejadian berpunca apabila tertuduh tidak tahan dengan bunyi bising kerja-kerja pengubahsuaian yang dilakukan jirannya itu.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat Jalan Bunga Raya 3, Taman Bunga Raya, Bukit Beruang, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 6 petang 19 Januari lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam Cassian Anthony bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya yang masih bujang hanya bekerja sebagai pembantu farmasi dengan gaji bulanan RM3,500 dan perlu menanggung ibu yang menghidap kanser otak.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebayak RM4,000 dan menetapkan tarikh 26 September depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGezette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast