Pasukan SAR sedang giat mengeluarkan mangsa.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita asing dipercayai warga India dikhuatiri terjatuh ke dalam lubang mendap dalam kejadian yang berlaku hadapan Masjid India, di sini hari ini.

Difahamkan kejadian itu berlaku sekitar jam 8 pagi tadi ketika mangsa sedang bersiar-siar di kawasan itu bersama keluarganya sebelum tiba-tiba berlaku mendapan tanah sehingga menyebabkan berlakunya lubang benam itu.

Berdasarkan maklumat awal, lubang berkenaan dianggarkan sedalam 10 meter.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati setakat jam 11.30 pagi pasukan bomba dan penyelamat sudah berada di lokasi sejak jam 8.30 pagi selepas bergegas ke lokasi bertindak atas panggilan kecemasan.

Kerja-kerja mencari dan menyelamatkan mangsa sedang giat dijalankan pasukan mencari dan penyelamat.

Turut kelihatan sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Air Selangor, dan Angkatan Pertahanan Awam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superitendan Nuzulan Mohd Din berada di lokasi bagi memantau operasi menyelamat.-MalaysiaGazette