Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang media sempena PAU 2024 ketika tinjauan Malaysia Gazette di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk bergerak solo mahupun mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti akan diputuskan bila tiba masanya, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, pengakhiran cerita kepada hala tuju UMNO hanya akan dibuat melihat kepada perkembangan sebelum atau semasa Pilihan Raya Umum (PRU16).

“Kepimpinan UMNO akan meneliti dan melihat sampai ketikanya sebab kita tidak boleh menilai diri kita sekarang untuk tahun 2027, (PRU16), bila sampai masa nak PRU nanti kita lihatlah bagaimana kekuatan parti kita.

“Kalau keadaan parti kita pada ketika itu membolehkan kita bergerak solo maka kita akan buat keputusan pada ketika itu,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Jelas Mohamad lagi, adalah tidak adil untuk UMNO menilai perkembangan terkini parti itu berbanding menjelang PRU16 yang belum ditentukan tarikhnya.

“Kalau tidak boleh bergerak solo, kita memerlukan rakan untuk kita menghadapi PRU pun kita akan fikiran pada ketika itu. Terpulang pada ketika itu.

“Sekarang ini adalah tidak adil untuk kita menilai diri kita sekarang untuk tahun 2027,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ucapan Dasar yang berkata, parti itu tidak akan bergerak solo juga harus diperhalusi.

Malah katanya, kenyataan itu tidak boleh diambil mudah kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian bagi memastikan parti kembali kukuh.

“UMNO mesti berupaya menubuhkan kerajaan, cara mana dan langkah bagaimana itu perlu diperhalusi dan kita kena rancang betul-betul kerana kita tidak mahu di sebabkan macam anjing dengan bayang-bayang.

“Rugi sendiri nanti, kita dalam pilihan raya nak menang dan tubuhkan kerajaan jadi nak menang cari macam mana nak menang dan cara bagaimana nak tubuhkan kerajaan. Kita tidak mahu nanti tamak sangat sudahnya kita kecundang,” katanya lagi.

Semalam dalam ucapan dasar presiden, Ahmad Zahid memberikan bayangan part itu tidak akan bergerak solo dalam PRU16 kelak.

Jelas Ahmad Zahid, sokongan ahli UMNO semata-mata tidak mampu untuk memenangkan parti itu kerana yang menjadi penentu adalah pengundi luar jauh lebih besar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast