MANILA – Kerajaan Filipina menuduh China melepaskan tembakan suar ke arah salah sebuah pesawatnya ketika ia melakukan rondaan di Laut China Selatan, bulan ini.

Beijing menuntut kebanyakan perairan stategik dan terlibat dalam konfrontasi dengan Manila sejak kebelakangan ini, mencetuskan kekhuatiran terhadap konflik bersenjata membabitkan Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu ketenteraan Filipina.

Sebuah jet pejuang China  ‘terlibat dengan pergerakan yang tidak bertanggungjawab dan berbahaya’ pada 19 Ogos lalu ketika pesawat Biro Sumber Perikanan dan Akuatik (BFAR) melakukan ‘penerbangan kesiagaan kawasan maritim’ berhampiran Beting Scarborough, kata Pasukan Petugas  Nasional untuk Laut Filipina Barat.

Gangguan bukan provokasi China itu termasuk ‘melepaskan suar beberapa kali pada jarak dekat, kira-kira 15 meter, dari pesawat Grand Caravan milik BFAR, menurut kenyataan pasukan petugas tersebut.

Suar turut dilancarkan berhampiran pesawat sama dari Terumbu Subi yang dikuasai China pada 22 Ogos lalu ketika pesawat peronda itu ‘memantau dan memintas nelayan haram yang mendekati Zon Ekonomi Eksklusif Filipina dan perairannya, tambahnya.

Semalam, Kementerian Luar China berkata, ia melakukan tindak balas tidak spesifik ke atas dua pesawat tentera Filipina  yang terbang di ruang udara Terumbu Sibi pada 22 Ogos lalu.

Pengumuman kementerian tersebut tidak menyatakan sebarang insiden di Beting Scarborough pada 19 Ogos lalu yang mana China merampasnya daripada Filipina pada akhir 2022. – AFP