Ni Ching (tengah) bersama peserta sebelum melepaskan Johor Jaya Run 2024 di pekarangan Dewan Raya Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini

PASIR GUDANG – Kerjasama antara gabungan politik yang diamalkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) wajar diteruskan pada masa depan dalam mengekalkan kestabilan politik.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, kerjasama tersebut merupakan norma baharu dalam konteks politik Malaysia hari ini serta semangat perkongsian kuasa itu kini boleh dilihat amat positif dan baik.

“Saya sambut baik ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menyatakan UMNO akan meneruskan konsep perkongsian kuasa.

“Ini adalah hakikatnya bahawa tiada gabungan politik yang boleh menjadi kerajaan (selepas PRU15). Saya percaya gabungan politik ini adalah norma baharu di Malaysia.

“Sebagai rakan dalam gabungan politik ini saya akan selalu membantu,” katanya kepada pemberita sebelum melepaskan
Johor Jaya Run 2024 di pekarangan Dewan Raya Bandar Seri Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung; ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng; ADUN Jementah, Ng Kor Sim dan ADUN Senai, Wong Bor Yang.

Semalam Ahmad Zahid dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dilaporkan berkata, UMNO akan meneruskan konsep perkongsian kuasa seperti yang diamalkan sehingga kini dalam memastikan kelangsungan parti itu mendepani perubahan landskap politik semasa.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata,
ahli-ahli parti itu semata-mata tidak akan mampu memenangkan UMNO, sebaliknya yang menjadi penentu kepada kemenangan parti itu adalah pengundi di luar UMNO yang jauh lebih ramai jumlahnya serta lebih besar peratusannya.

Malah, Ahmad Zahid turut mengingatkan ahli-ahli UMNO yang mana parti berkenaan bukan lagi parti dominan seperti suatu ketika dulu.

Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Ketua Wanita DAP berkata, amalan perkongsian kuasa itu juga tepat pada masanya dalam keadaan tiada gabungan politik yang boleh menjadi kerajaan tanpa perlu bergabung.

Katanya yang juga Timbalan pengerusi DAP Johor, amalan perkongsian kuasa amat sesuai dengan budaya berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Ini seperti nasihat dan titah Yang di-Pertuan Agong, yang menang tidak menang semuanya dan yang kalah tidak kalah semuanya,” ujar Timbalan Menteri Komunikasi itu.- MalaysiaGazette