Pemain-pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) menjulang piala selepas menewaskan Selangor FC 6-1 pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 24 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Johor Darul Tazim FC (JDT FC) berjaya membuktikan pasukannya masih berbisa dan sukar digugat dalam liga tempatan apabila mempertahankan kejuaran Piala FA untuk kali keempat hari ini.

Dalam aksi sengit yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, Boys of Straits itu berpesta gol apabila melanyak Selangor FC dengan keputusan 6-1.

Sejurus perlawanan separuh masa pertama bermula, pasukan kendalian Hector Pablo Bidoglio nyaris mengejutkan anak buah Mohd Nidzam Jamil apabila hampir membuka gol pada minit kedua permainan namun tersasar.

Kemudian, skuad Harimau Selatan itu terus mengasak gawang lawan bertubi-tubi dan akhirnya berjaya membuka jaringan pada minit ke-26 menerusi Juan Muniz Gallego.

Dengan permainan berbaki dua minit sebelum aksi separuh masa pertama tamat, JDT FC terus menggunakan kelemahan bek pertahanan pasukan lawan dengan menjaringkan gol kedua menerusi Arif Aiman Mohd Hanapi.

Aksi separuh masa pertama itu kemudian berakhir dengan keputusan 2-0 memihak kepada JDT FC.

Selepas separuh masa kedua bermula, Selangor FC mendapat peluang membuka jaringan namun percubaan itu sia-sia.

Bagaimanapun, pada minit ke-59, Selangor berjaya bangkit merapatkan kedudukan dengan lawan apabila menjaringkan gol menerusi Alvin Mateus Fortes.

Gol itu sekaligus memberikan sedikit harapan kepada penyokong the Red Giants untuk mengejar dan mencari gol penyamaan dalam merangkul kejuaraan FA untuk kali keenam dalam sejarah kelab itu.

Bagaimanapun, pemain Bergson da Silva menjadi pemusnah harapan itu dalam sekelip mata apabila membantu JDT FC menambah gol ketiga pada minit ke-62 permainan tersebut.

Dengan gol ketiga itu, nasib Selangor FC untuk mengejar juara bertahan tahun lepas itu musnah dan pasukan itu terus dihukum lawan dengan gol keempat oleh JDT FC menerusi Huan Muniz sekali lagi pada minit ke-68 permainan.

JDT tidak berhenti setakat itu, mereka terus beraksi agresif dan pantas sebelum mula berpesta gol dengan menjadikan nasib lawan itu semakin parah apabila menjaringkan gol kelima melalui Eberty Fernandes pada minit ke-76 separuh masa kedua.

Bagaimanapun, JDT FC di bawah naungan Tengku Mahkota Johor dilihat tidak mahu berhenti di situ apabila terus menghukum lawannya apabila Juan Muniz melakukan hatrik dan gol keenam untuk pasukannya pada minit ke-88 sebelum keputusan penuh perlawanan berakhir dengan 6-1 mengangkat pasukan selatan mempertahankan kejuaraan untuk kali keempat tahun ini.

Untuk rekod Johor menjulang piala FA kali pertama dengan menewaskan PKNS pada 2016.

Mereka menang semula gelaran kali kedua menundukkan Terengganu FC dengan keputusan 3-1 pada 2022.

Pada edisi lepas, Southern Tigers mempertahankan gelaran itu selepas menundukkan Kuala Lumpur City FC dengan keputusan 2-0.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast