KUALA LUMPUR – Suasana di Stadium Nasional Bukit Jalil semakin meriah menjelang perlawanan akhir Piala FA 2024 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC yang bermula jam 9 malam nanti pada 24 Ogos 2024.
Ribuan penyokong kedua-dua pasukan sudah mula membanjiri stadium seawal petang tadi, membawa bersama semangat dan sokongan padu buat pasukan masing-masing.
Warna biru dan merah, warna rasmi JDT dan Selangor FC, jelas mendominasi pemandangan di stadium, menunjukkan kesungguhan dan keghairahan penyokong yang tidak sabar untuk menyaksikan pertembungan dua gergasi bola sepak Malaysia.
Pihak pengurusan stadium dan pihak berkuasa turut bersedia sepenuhnya untuk memastikan kelancaran acara malam ini.
Kawalan keselamatan dipertingkatkan dengan kehadiran polis yang ramai bagi mengawal keadaan dan memastikan keselamatan para penyokong.
Sorakan dan nyanyian penyokong mula kedengaran di segenap sudut stadium, memberikan gambaran betapa tingginya harapan mereka terhadap pasukan masing-masing.
Bagi penyokong JDT, mereka berharap pasukan kesayangan mereka mampu mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu, manakala penyokong Selangor FC pula mengharapkan kebangkitan pasukan mereka untuk menamatkan kemarau kejuaraan.
Dengan segala persiapan yang rapi dan semangat penyokong yang membara, perlawanan akhir Piala FA 2024 malam ini dijangka akan menjadi salah satu perlawanan paling epik dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Semua mata tertumpu pada Stadium Bukit Jalil, menanti untuk menyaksikan pasukan mana yang akan menjulang piala berprestij ini.
“Ramalam saya untuk malam ini, JDT akan menang dengan skor 2-1 atau 3-2. Yang penting, perlawanan akan menjadi sengit dan penuh aksi,” kata Munir Bin Mujir, 41 tahun, salah seorang penyokong setia JDT.
“Saya juga berharap Arif Aiman dapat mencipta hatrik. Kualiti pengadilan pula, saya harap tiada berat sebelah dan segalanya berjalan lancar tanpa sebarang kontroversi” katanya lagi.
“Saya rasa perlawanan akan sengit, tetapi kelebihan tetap ada pada JDT. Namun, Selangor jangan dipandang rendah kerana mereka juga ada peluang untuk menang.
Harap Faisal Halim dapat memberi kejutan malam ini, dan kedua-dua pasukan memberi 100 peratus dalam permainan mereka.” – kata Mohd Mohd Hisyamuddin Rosman, seorang lagi penyokong JDT.
“Harapan saya, biarlah perlawanan ini berlangsung dengan adil tanpa perlu sampai ke penentuan penalti.
Saya sokong Selangor FC dan berharap mereka menang 3-0. Kualiti pengadilan malam ini saya yakin adalah yang terbaik kerana pengadil adalah bertaraf FIFA,” tambah Muhd Razi Bin Herman, salah seorang penyokong Selangor FC. – MalaysiaGazette