Gambar tular mengenai kejadian ada pihak meletakkan dadah disyaki pil kuda atau methamphetamine pada bahagian bawah kotak simpanan barang motosikal seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

JOHOR BAHRU – Seorang jurukimpal yang bekerja di Singapura terkejut selepas menyedari dadah diletakkan di motosikalnya semasa mahu mengisi minyak di kawasan Majidee, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 6.41 pagi di sebuah stesen minyak di situ.

Menurutnya, semasa kejadian lelaki berusia 37 tahun itu melihat bahan terlarang tersebut ada pada motosikalnya.

“Pengadu ternampak ada sepaket plastik yang di dalamnya mengandungi dua barang seperti pil berwarna merah terletak di bawah kotak barang motosikal.

“Pengadu telah membuang barang itu di kawasan stesen minyak berkenaan.

“Siasatan yang dijalankan pihak polis pada petang semalam selepas laporan polis diterima, gagal mengesan barangan terbabit di lokasi yang dinyatakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian tersebut.

Terdahulu, tular kejadian itu dalam media sosial apabila seorang individu mendedahkan ada pihak meletakkan dadah disyaki pil kuda atau methamphetamine pada bahagian bawah kotak simpanan barang motosikal seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

“Nasib masih lagi menyebelahi sahabat seperjuangan ‘Run SGD’ kita. Nasib baik ‘rider’ perasan sebelum masuk ke Singapura. Ada orang telah meletakkan pil kuda (methamphetamine) bawah ‘box’ motorsikal. Hati-hati buat semua sahabat seperjuangan ‘Run SGD’,” tulisnya. – MalaysiaGazette