KUALA LUMPUR – Puteri UMNO berharap pucuk pimpinan parti itu memberi perhatian serius terhadap tuntutan supaya usia keahlian sayap parti itu dilanjutkan sehingga ke 40 tahun.
Ketua Penerangan Puteri UMNO, Shamellya Norazizi berkata, tuntutan itu sekiranya diluluskan akan memberi lonjakan besar ke arah memperkasakan lagi sayap parti berkenaan seterusnya memperkukuhkan UMNO secara keseluruhannya.
Ujar beliau, tuntutan itu juga hanya berlandaskan matlamat supaya Puteri UMNO mampu melahirkan generasi pemimpin pelapis pada masa depan.
“Rata-rata ahli Puteri habis belajar pada usia 25 tahun dan mereka hanya ada masa kira-kira 10 tahun untuk berkhidmat atau bekerja di dalam gelanggang Puteri.
“Selepas umur 35 tahun, mereka secara automatik akan berpindah ke gelanggang Wanita UMNO.
“Amat sayang kerana Puteri yang kita telah beri peluang dan ruang ini perlu menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada generasi baharu yang kebanyakan mereka adalah pelajar yang belum pernah berpolitik, malah ada yang sedang mencari haluan untuk menstabilkan kehidupan,” katanya kepada MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Menurut Shamellya, gesaan supaya umur keahlian Puteri UMNO dilanjutkan itu bukan kerana ahli-ahli sayap berkenaan gilakan kuasa atau mahu kekal berjawatan.
Sebaliknya, ujar beliau, ia semata-mata bertujuan melahirkan pemimpin wanita muda berkualiti yang memerlukan satu tempoh kematangan sama ada di peringkat cawangan, bahagian atau negeri.
“Ini juga bagi memastikan kesinambungan legasi Puteri UMNO ini berkekalan dan sentiasa bersedia bagi menghadapi apa sahaja tugasan selain tanggungjawab hakiki sebagai seorang ibu, anak dan isteri,” katanya. – MalaysiaGazette