Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR- Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan sekeras-kerasnya kawasan Tanah Rizab Melayu di negeri itu semakin berkurangan.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau menegaskan, kawasan Tanah Rizab Melayu di Pahang pada hakikatnya bertambah daripada 218,326 hektar pada 1955 kepada 444,074 hektar pada 2023.

Ia meningkat kepada 12.34 peratus berbanding keluasan negeri Pahang iaitu 3,597,206.68 hektar.

“Oleh yang demikian, saya menafikan sekeras-kerasnya hantaran tersebut dan ia merupakan satu fitnah dan permainan persepsi negatif untuk memburukkan Kerajaan Negeri.

“Ini kerana, Kerajaan Negeri sentiasa memastikan Tanah Rizab Melayu terus dipertahankan dan Kerajaan Negeri juga akan terus melaksanakan penguatkuasaan bagi menghalang sebarang aktiviti pencerobohan tanah secara haram di atas tanah kerajaan.

“Saya berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dan semaklah kesahihan terlebih dahulu dengan pihak berwajib,” katanya.- MalaysiaGazette