Nurulhidayah Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO merayu Presiden parti yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan calon wanita untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Jurucakap pergerakan itu, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, meletakkan calon Wanita di DUN Mahkota merupakan tradisi kerana sebelum ini ia disandang oleh seorang wanita.

“Kami pun bukan la demand sangat. Maksud kami, meletakkan kami di mana-mana kerusi yang mudah menang.

“Biaq la hat lelaki duk di tempat yang payah kerana ikut logik alam dan manusia, lelaki lebih kuat.

“Saya hanya mampu menjadi wakil kepada suara Wanita untuk memohon kerusi untuk bertanding, kerana tahu saya tak layak nak minta kerusi di Bagan Datuk, tapi kalau nak bagi laluan saya tak tolak,” katanya ketika perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Menurut Nurulhidayah, golongan wanita perlu lebih ramai dilibatkan dalam politik dan peringkat membuat keputusan serta dasar negara sepenuhnya demi menjamin kestabilan social sekaligus menuju ke arah negara maju yang seimbang.

Ujarnya, ia bukanlah soal politik jantina tetapi, isu aset ekonomi negara dan kepimpinan tertinggi UMNO perlu memastikan
wanita selepas ini lebih ramai jadi wakil rakyat, calon
dan Menteri.

Katanya, langkah itu bukanlah bermaksud lelaki tidak boleh membuat dasar dengan baik, tapi bila ada pembabitan wanita diperingkat tertinggi, ia akan menjadi pelengkap kepimpinan lelaki.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, DR Akmal Saleh menyuarakan agar kerusi berkenaan diberikan kepada calon daripada pemuda untuk dipertandingkan dalam PRK berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad mahukan kerusi tersebut terus dikekalkan kepada calon wanita. – MalaysiaGazette