Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat tapak pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 24 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berpeluang cerah untuk kembali bersama UMMO, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, beliau akan membawa rayuan Tajuddin untuk menyertai semula parti itu ke Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Majlis  Kerja Tertinggi (MKT) parti.

Semalam, Tajuddin yang hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) selepas berasa rindu kepada UMNO berkata, beliau masih menganggap dirinya ahli UMNO.

“Datang tengok-tengok melepaskan rindu kepada Umno. Saya masih (anggap diri ahli) Umno lagi walaupun kena gantung, masih ahli, jadi, sebagai ahli masih sayangkan parti mudah-mudahan parti kita akan bangkit semula, harapannya begitulah,” katanya ketika ditemui di WTC, Kuala Lumpur.

Pada Jun 2022, Tajuddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian digugurkan keahliannya menerusi satu surat yang dihantar Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata Tajuddin dipecat kerana mengkritik parti menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah dalam mesyuarat-mesyuarat tertutup yang dihadirinya. – MalaysiaGazette