Penyokong JDT berkumpul di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pagi tadi sebelum bertolak dengan 11 buah bas untuk menyaksikan perlawanan akhir antara JDT dan Selangor FC di SNBJ, Kuala Lumpur

JOHOR BAHRU – Lebih 4,000 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) menaiki 109 bas berkonvoi dari bandar raya ini ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menyaksikan perlawanan akhir Piala FA menentang Selangor FC, malam ini.

Sebanyak 11 bas membawa ahli Kelab Penyokong Bola Sepak JDT (Johor Fan Club) berkonvoi seawal pukul 8.30 pagi tadi dari Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Timbalan Presiden Johor Fan Club, Mohd Fadzli Sapie berkata, konvoi terbesar adalah daripada kelab penyokong Boys of Straits melibatkan 80 buah bas yang bertolak dari beberapa lokasi berbeza seluruh negeri dan selebihnya adalah kelab penyokong bersekutu yang lain.

“Pada pagi ini, dianggarkan sebanyak 109 bas mula berkonvoi menuju ke SNBJ dengan misi yang jelas untuk memberikan sokongan tak berbelah bahagi kepada JDT bagi memperlahankan kejuaraan Piala FA yang dimenangi sejak 2022.

“Kita berharap dengan kehadiran penyokong Harimau Selatan yang ramai dapat meniup semangat juang Harimau Selatan untuk muncul pemenang sekali gus melengkapkan hatrik menjuarai Piala FA,” katanya ketika ditemui kepada pemberita hari ini.

Mohd Fadzli memberitahu, kemeriahan perlawanan akhir semakin terasa dan mengingatkan semua penyokong Harimau Selatan untuk menjaga disiplin dan keselamatan diri.

“Semua penyokong telah diberikan taklimat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Sebolehnya, semua penyokong JDT diminta untuk tidak melayan dan mencetuskan provokasi, ini bagi mengelakkan perkara tak diingini berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penyokong, Saiful Nizam Saari, 35, yakin pasukan bimbingan Hector Bidoglio mampu muncul juara dan menjulang trofi Piala FA buat tiga musim berturut-turut.

“Kita akui pertemuan itu akan menjanjikan satu pertembungan yang sengit kerana Selangor FC tidak kurang hebatnya, saya ramal JDT mampu muncul juara dengan kemenangan yang tipis,” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak Rohani, 51, sanggup keluar dari rumah seawal pukul 6 pagi dari Kota Tinggi ke Larkin bagi tidak melepaskan peluang melihat JDT muncul pemenang Piala FA musim ini.

“Saban tahun, saya tidak pernah terlepas konvoi Johor Fan Club bagi menyaksikan perlawanan akhir membabitkan JDT di SNBJ, harapnya kali ini juga kita tidak pulang dengan tangan kosong,” katanya.- MalaysiaGazette