perjumpaan khas UMNO
Logo UMNO di Menara Dato Ona, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perkara utama yang perlu ditekankan oleh UMNO dalam meletakkan calon untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bukanlah terletak kepada isu gender.

Sebaliknya, ia perlu melihat kepada calon yang hendak ditonjolkan termasuk penerimaan masyarakat di kawasan yang ditandinginya, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Beliau berkata, tidak salah sekiranya sayap-sayap parti melobi agar calon daripada pergerakan parti masing-masing dipilih asalkan calon yang ditonjolkan boleh mengekal kerusi itu kepaada UMNO.

“Wanita kata itu kerusi tradisi, Mahkota kerusi tradisi wanita tetapi, apa pun ia masih tertakluk kepada budi bicara pucuk pimpinan setelah melihat kriteria calon.

“Saya cakap secara general, kalau memang ada calon Wanita yang sesuai dan boleh menang, saya rasa tak ada masalah.

Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin

“Kata ada calon lebih sesuai dan boleh menang tetapi, bukan wanita, wanita kena terima boleh tanding kerusi lain kemudian. Tak semestinya Mahkota diberikan kepada wanita… yang penting calon tersebut boleh menang dan boleh diterima lapisan Masyarakat,” katanya ketika ditemui di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, di sini, hari ini.

Pandangan Shahaniza itu dipersetujui Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang memberitahu, pucuk pimpinan parti mempunyai pendekatan dan geografi berbeza mengikut keperluan dan kepentingan di sesuatu tempat yang akan ditandingi oleh UMNO.

Katanya, meskipun UMNO Pusat menerima cadangan daripada Wanita, tetapi sayap-sayap parti turut menghantar nama wakil masing-masing.

Megat Zulkarnain Omardin

“Saya fikir ini bukan sesuatu (isu)… itu anggapan dan andaian wanita itu tak boleh halang tetapi dia tak berlaku semacam itu.

“Ada kerusi ditandingi lelaki akhirnya diisi wanita selepas itu, ada kerusi wanita ditandatangani lelaki tak berlaku soal kerusi ini dimiliki mana-mana gender,” ujarnya. – MalaysiaGazette