KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO yang akan membantu kempen calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diingatkan agar tidak hanya sekadar menjadi pelancong politik yang datang ke Kluang, Johor.
Sebaliknya, kehadiran mereka itu adalah bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) dari UMNO untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya tersebut, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, UMNO tidak boleh merasa selesa meskipun sebelum ini penyandang kerusi di kawasan itu memenangi dengan mendapat majoriti lebih daripada 5,000 undi.
“Jadi, turunlah ramai-ramai bantu. Tapi, bila turun ramai-ramai saya nak ingatkan kepada kawan-kawan yang nak turun, pekan Kluang ini kecik saja. Jangan kita turun ramai-ramai menyesakkan orang di Kluang…turun bekerja, jangan turun macam pelancong politik.
“Turun ramai-ramai bekerja dan pastikan kita mencapai kemenangan untuk kita kekalkan DUN Mahkota pada pilihan raya ini,” katanya pada sesi penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Dalam pada itu Mohamad berkata, pimpinan UMNO perlu berunding secara elok untuk memilih calon yang akan ditonjolkan pada PRK DUN Mahkota.
Ujarnya, ia perlu kerana calon itu nanti akan dijunjung sebagai pengantin selepas diumumkan kemenangan.
“Insyaallah berunding elok-elok cari calon yang baik. Orang tua-tua kata runding jangan selisih, muafakat jangan bersanggah, elok-elok berunding jangan berselisih.
“Bila kita bermuafakat tu jangan bersanggah-sanggah cari yang eloknya. Bila dah dapat yang elok itu barulah kita junjung sebagai pengantin di Mahkota tu nanti pula,” ujarnya.
Bagaimanapun Mohamad menegaskan, ahli UMNO tidak boleh terlalu yakin untuk mendapat kemenangan sebagaimana yang dicapai sebelum ini.
Apa yang penting katanya, kerja kuat bagi memastikan segala yang hendak dicapai akan mendatangkan kebaikan kepada UMNO. – MalaysiaGazette