KUALU LUMPUR – UMNO perlu meletakkan calon anak tempatan yang mudah untuk `dijual’ kepada pengundi bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, faktor itu juga menjadi antara penentu utama kemenangan pada PRK Nenggiri yang mana UMNO bukan sahaja berjaya merampas semula kerusi itu, malah dengan majoriti sangat besar.
Jelas beliau, pada PRK Nenggiri, UMNO tidak mempunyai masalah untuk mengetengahkan calon parti itu, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani memandangkan beliau sudah dikenali sejak sekian lama dalam kalangan masyarakat setempat.
“Pengundi ini mereka suka kepada calon yang memang sudah lama bekerja bersama-sama mereka di kawasan itu.
“Contoh macam Awie (Mohd. Azmawi Fikri), kita senang berkempen untuknya sebab beliau memang sudah lama menjaga kawasan Nenggiri, penduduk di situ semua sudah kenal dan mesra dengan beliau.
“Jadi kita nak bawa produk kita untuk dijual kepada penduduk pun senang,” katanya dalam wawancara bersama UMNO Online sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di sini, hari ini.
Tambah beliau, faktor pemimpin yang sudah lama berbakti di kawasan itu juga perlu menjadi asas utama kepada UMNO dalam memilih calon pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Sehubungan itu, ujar beliau, seluruh UMNO Bahagian di kerusi yang akan ditandingi parti tersebut pada PRU-16 perlu menonjolkan bakal calon kepada masyarakat bermula dari sekarang.
Sementara itu, mengulas mengenai calon PRK DUN Mahkota, Norliza berkata, pihaknya berharap calon Wanita UMNO diberi peluang sekali lagi untuk bertanding di kerusi tersebut.
Ujarnya, ia bagi meneruskan legasi kepimpinan Wanita UMNO di DUN itu yang ditinggalkan penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang kini dikenang antara pemimpin wanita yang banyak menabur jasa dan bakti.
“Bagaimanapun, Wanita UMNO menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk kepimpinan parti dan sesiapa pun yang dicalonkan nanti, kita akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan parti,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September depan.
PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru.
Sharifah Azizah menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi; calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan (7,614 undi) dan calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman (555 undi). – MalaysiaGazette