KUALA LUMPUR – Suasana sedih menyelubungi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini, ketika Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan puisi khas buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, Ahmad Zahid membacakan puisi khas itu yang menggambarkan perasaannya terhadap nasib yang melanda bekas Presiden UMNO berkenaan ketika ini.
Nada sebak Ahmad Zahid ketika membacakan `Puisi Buat Sahabat’ itu turut mengundang air mata sebahagian besar perwakilan yang hadir di dewan tersebut.
Berikut adalah puisi penuh yang dibacakan Ahmad Zahid itu:
Sahabatku,
Saat kita lewati liku perjuangan ini,
Kau tebas denai dengan ketajaman fikiranmu,
Kau atur gerak dengan tangkas langkahmu,
Kau angkat darjat bangsa dengan kudratmu…
Sahabatku,
Saat kita mula mengatur langkah,
Kau ada dihadapanku menunjuk arah,
Kau tabah mengimami jemaah,
Kau kukuhkan ikatan ukhwah
Sahabatku.
Tatkala kau duduk di empuknya kerusi kuasa,
Kau sentiasa bingkas berdiri,
Membela nasib anak bangsa,
Kau perah keringat menabur jasa Ibarat lilin,
Membakar diri menerangi gelita…
Sahabatku,
Tiada yang lebih meruntun hati,
Apabila mengenang pada saat dan ketika ini,
Dirimu terkurung di sebalik jeriji besi,
Bertemankan tembok dingin dan sepi…
Mengundang resah dan rindu kami…
Akan sosok tubuhmu yang sering menemani…
Sahabatku…
Sebagai bukti sahabat sejati,
Ku ikat diriku dengan ikrar dan janji,
Ku susun langkah dengan bestari,
Bagi memastikan engkau kembali,
Kembali bersama ke pangkuan kami,
Moga terbuka semua pintu hati,
Moga usaha kami diredhai Illahi…
Terdahulu, PAU 2024 menyaksikan agenda pembebasan dan keadilan buat Najib dibangkitkan hampir keseluruhan perwakilan yang mengambil bahagian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden.
Malah, Ahmad Zahid dalam ucapan dasar beliau semalam menegaskan UMNO tidak akan berhenti daripada mendapatkan keadilan yang sewajarnya terhadap Najib dan pendirian serta komitmen UMNO berhubung pembelaan terhadap Najib sentiasa teguh.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usul pengampunan penuh diberikan kepada Najib adalah yang tertinggi diterima oleh ibu pejabat parti itu iaitu sebanyak 72 daripada 171 Bahagian UMNO.
Najib kini berdepan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International.
Bagi tiga kesalahan pecah amanah dan tiga lagi kesalahan pengubahan wang haram, setiap pertuduhan membawa hukuman penjara 10 tahun. – MalaysiaGazette