Exco Pergerakan Puteri UMNO, Siti Nor Hasyyati Abd. Rahman.

KUALA LUMPUR – Puteri UMNO mencadangkan sistem kuota dilaksanakan dalam memilih barisan kepimpinan sayap parti itu di semua peringkat pada pemilihan akan datang,

Exco Pergerakan Puteri UMNO, Siti Nor Hasyyati Abd. Rahman berkata, mana-mana penyandang jawatan dalam Puteri UMNO yang berumur lebih 35 tahun boleh menawarkan diri bertanding sekali lagi selagi tidak mencecah umur 40 tahun.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Setiawangsan menambah, calon yang pertama kali menawarkan diri untuk bertanding pula mestilah berumur di bawah 35 tahun.

Jelasnya, di peringkat jawatankuasa pula, sebanyak 50 peratus daripada barisan kepimpinan perlu di bawah umur 35 tahun, manakala jawatan-jawatan lantikan mesti terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 35 tahun.

“Kaedah ini penting bagi memastikan kelangsungan pimpinan dan paling penting, pemimpin yang akan berhadapan dengan pilihan raya umum (PRU) akan datang terdiri daripada mereka yang telah melalui proses kematangan dan memahami selok-belok menguruskan perjalanan pilihan raya,” katanya.

Beliau berucap mewakili Pergerakan Puteri UMNO pada sesi perbahasam sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Siti Nor Hasyyati berkata, cadangan sistem kuota itu selari dengan tuntutan Puteri UMNO supaya had umur keahlian sayap parti itu dinaikkan daripada 35 tahun kepada 40 tahun.

Jelas beliau, ia bagi memastikan kelangsungan kepimpinan Puteri UMNO memandangkan sebahagian besar iaitu kira-kira 80 peratus daripada pemimpin hari ini akan meninggalkan Puteri UMNO walau hanya sempat memimpin selama sepenggal.

“Sedar atau tidak, 153 Ketua-ketua Puteri UMNO Bahagian akan melewati tahap usia yang dibenarkan iaitu 35 tahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti Nor Hasyyati turut mencadangkan supaya bedah siasat di sebalik kemenangan saluran muda ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dilakukan segera oleh sayap Puteri dan Pemuda UMNO.

Menurutnya, pada PRK itu, UMNO berjaya memenangi undi orang muda di 18 daripada 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM), iaitu sokongan yang disifatkan tidak diduga.

“Apakah sebenarnya yang tersirat di sebalik yang tersurat di atas sokongan sekelompok besar anak-anak muda kepada Barisan Nasional (BN) di dalam PRK Nenggiri pada 17 Ogos lalu?

“Apakah sebenarnya mesej yang hendak disampaikan oleh golongan muda ini kepada kita semua?

“Apakah suatu pengharapan yang mereka inginkan di sebalik sokongan ini? Sudah tentulah semua apa yang berlaku ini adalah bersebab,” katanya. – MalaysiaGazette