Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bercakap dalam sidang akhbar sempena PAU 2024 ketika tinjauan Malaysia Gazette di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – UMNO Kelantan tidak akan dihalang oleh stigma `kerusi tradisi’ dalam usaha mengembangkan pengaruh politik dalam kalangan orang Melayu di negeri itu.

Malah, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub turut menyifatkan istilah `kerusi tradisi’ tidak lagi wujud dalam landskap politik semasa.

Beliau turut memberikan contoh bagaimana Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah tewas di kerusi Marang meskipun Parlimen itu sudah sinonim dengan Presiden Pas berkenaan.

Selain itu, ujarnya, kawasan Felda kini bukan lagi kerusi tradisi UMNO seperti yang sering digembar-gemburkan apabila parti itu kalah di lebih 90 peratus kerusi kawasan Felda pada pilihan raya umum lalu.

“Sekarang tiada istilah kerusi tradisi, sebaliknya UMNO kena peka terhadap kehendak rakyat dan memberikan khidmat seperti yang dimahukan rakyat.

“UMNO ini ibarat kita menjual makanan, kedai mana yang jual paling banyak dan paling sedap, maka itulah yang akan menjadi pilihan orang ramai.

“Jadi sekarang orang Melayu tidak kira orang muda atau dari apa-apa latar belakang sekali pun, mereka perlu lihat kedai UMNO inilah kedai yang terbaik, jadi biar orang masuk kedai kita,” katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpuan Agung UMNO (PAU) 2024, di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Ahmad Jazlan ditanya berhubung sindiran pihak tertentu supaya UMNO tidak terlalu meraikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini memandangkan kawasan itu merupakan kerusi tradisi UMNO.

Malah, UMNO Kelantan juga dicabar untuk membuktikan kemampuan di sebahagian besar kerusi DUN Kelantan lain yang dikuasai Pas sebagai bukti sebenar sudah mendapat sokongan orang Melayu di negeri itu.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan turut yakin kemenangan UMNO pada PRK Nenggiri disebabkan orang Melayu menilai tiada kerajaan yang mampu mentadbir lebih baik berbanding apa yang pernah dilakukan UMNO sebelum ini.

“Mungkin barangkali rakyat melihat UMNO parti yang terbaik untuk memimpin kerajaan dan mereka sudah merasai kenikmatan, kelebihan sewaktu UMNO dan BN pimpin kerajan.

“Jadi, sudah tentu rakyat akan pilih yang terbaik dalam kalangan terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast