Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani

MERSING – Seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai sanggup menipu keluarganya apabila mereka cerita diculik tetapi sebenarnya mahu bermalam dengan teman lelakinya di Rompin, Pahang.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, bagaimanapun penipuan itu terbongkar apabila wanita berkenaan ditemui semalam.

“Sebelum itu pihak polis menerima laporan berhubung seorang wanita berusia 24 tahun disyaki dilarikan lelaki tidak dikenali pada pukul 5.23 petang kelmarin.

“Gerakan mencari mangsa dijalankan membabitkan pelbagai elemen dan hasil maklumat orang awam, wanita berkenaan telah ditemukan dalam keadaan di selamat di kawasan Rompin.

“Siasatan mendapati mangsa telah memberikan maklumat palsu kepada ahli keluarganya dengan menyatakan diculik kerana mahu bermalam dengan kawan-kawan di kawasan mangsa dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Razak berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati wanita terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 26 dan 24 tahun yang bersama-sama wanita tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953 dan permohonan reman kepada ketiga-tiga tangkapan dibenarkan selama tiga hari sehingga Isnin ini.

Beliau meminta orang ramai agar tidak memberi maklumat palsu kerana itu merupakan satu kesalahan yang boleh disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette