Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Pengulungan Perhimpunan Agong UMNO di dewan merdeka ketika tinjauan Malaysia Gazette di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – UMNO bertanggungjawaab untuk memperbetulkan kekeliruan ditimbulkan oleh Pas yang menyentuh perkara berkaitan agama dan parti.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, UMNO perlu memperjelaskan kekeliruan di kalangan orang Melayu Islam bahawa parti dan agama merupakan dua perkara yang berbeza.

“Bayangkan pihak lawan yang sebangsa dan seagama, sanggup mentakrifkan UMNO sebagai sekular dan sesat, membacakan qunut nazilah, mendoakan kehancuran, malahan ada kalanya membacakan talkin kepada UMNO, satu sindiran seolah-olah UMNO telah mati.

“Begitu juga mereka sanggup mengheret institusi Raja dalam kancah politik, lalu merendahkan kedudukan Raja-Raja Melayu. Mereka turut memainkan sentimen perkauman dan politik kebencian melampau.

“Setiap hari, Pas asyik meratib UmDAP, UmDAP, UmDAP, tetapi kita kena ingat, orang UMNO belum pernah berguling atas jalan sambil pegang bendera DAP,” kata Wan Rosdy.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Penggulungan Naib Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang berakhir hari ini.

Wan Rosdy berkata, Pas boleh menjadi apa sahaja kerana politik dan agama digunakan parti itu untuk menghasut rakyat terutamanya anak-anak muda.

“Maki hamun, carutan, caki maki, fitnah dan pembohongan dinormalisasikan melalui kempen-kempen mereka.

“Strategi yang digunakan ini merosakkan cara pemikiran generasi muda Melayu, dan generasi ini akan mewarisi negara yang tercinta pada suatu hari nanti. Maka, menjadi tanggungjawab UMNO untuk memperbetulkan keadaan ini,” tegasnya.

Sementara itu Wan Rosdy memberikan beberapa cadangan supaya UMNO terus mendapat tempat di hati rakyat seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri.

UMNO katanya, perlu mula memberikan tekanan kepada pihak lawan terutama di kawasan yang dimenangi mereka dengan mencari kelemahan mereka.

Parti itu juga UMNO perlu mengenal pasti lebih awal tokoh yang boleh menjadi taruhan parti pada pilihanraya akan datang.

UMNO perlu mendampingi golongan agamawan kerana ramai guru pondok dan guru tahfiz menolak kaedah dibawa oleh Pas tetapi kurang disantuni oleh UMNO.

Gerak kerja dan pelaksanaan agenda ekonomi Bumiputera perlu digerakkan lebih giat oleh UMNO dan kesannya perlu dilihat dan dirasai dalam tempoh berbaki sebelum pilihanraya.

Kawasan yang dimenangi UMNO perlu menjadi contoh dan model kepada kawasan-kawasan lain dari segi pembangunan, sosial, ekonomi dan perkhidmatan wakil rakyat.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast