Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Parti tunjang kaum Melayu, UMNO harus bergerak dan memerintah bersandarkan kepada realiti politik semasa, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Naib Presiden UMNO itu berkata bukan perkara baharu untuk UMNO bergerak bersama-sama parti lain dalam memerintah negara.

“Ia bukan perkara baharu atau perkara yang dibuat secara tiba-tiba atas dasar keterpaksaan atau keterdesakan. Sebaliknya, pendekatan ini adalah apa yang UMNO lakukan sejak parti ini mula mentadbir negara dan bangsa kita seawal kemerdekaan.

“Daripada fikrah UMNOlah, kita wujudkan BN dan mengurus negara ini secara permuafakatan selama lebih enam dekad,” katanya dalam sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Mengulas lanjut, Khaled berkata UMNO perlu mengambil kira dinamika semasa politik negara dan tidak boleh memaksa pelbagai parti untuk menyertai gabungan Barisan Nasional (BN) sebagai komponen.

“Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh bekerjasama dengan baik. Pelbagai strategi boleh kita nukilkan, tetapi matlamat asal masih terus kita pertahankan,” kata Khaled.

Oleh yang demikian, Khaled berkata orang Melayu harus berkongsi kuasa dengan pelbagai parti lain kerana hakikatnya UMNO tidak mempunyai kekuatan untuk memerintah secara sendirian.

Justeru itu, saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmd Zahid Hamdi agar semua kepimpinan dan ahli untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi membangunkan ketahanan bangsa perlu disambut dengan tekad.

Tambahnya, usaha membangun ketahanan bangsa Melayu pada masa ini mesti bersandar kepada kebolehsaingan kerana tiada bangsa akan berjaya tanpa konsep tersebut.

“Kita mesti menjadikan generasi Melayu itu lebih baik, lebih kompetitif, lebih berilmu dan lebih global.

“Kita tidak lagi boleh menggunakan bangsa dan agama, sebagai senjata untuk memenangi persaingan. Sentimen sebegitu sudah tidak sesuai dengan Melayu dalam kurun ke-21.

“Kita mahukan Melayu yang bijaksana dan menjadi pencetus revolusi baharu bagi kemajuan industri, digital dan ekonomi Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast