Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Pengulungan Perhimpunan Agong UMNO di dewan merdeka ketika tinjauan Malaysia Gazette di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – UMNO memerlukan orang Melayu untuk bangkit semula dan menjadi lebih dinamik.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, orang Melayu hanya memerlukan UMNO ketika mahu mendapatkan kemerdekaan namun situasi itu kini telah berubah.

“Betul ke Melayu perlukan UMNO atau UMNO perlu Melayu? Saya bertanya ini kerana kemungkinan besar orang Melayu perlukan UMNO ketika kita mula-mula merdeka.

“Selepas negara ini bangun, 1957 kita merdeka, UMNO ditubuhkan pada 1946, 11 tahun kita memperjuangkan kemerdekaan. Kemudian dapat kemerdekaan kita membangunkan negara ini dan berkuasa.

“Saya percaya kalau dulu kita guna bahasa – orang Melayu perlu UMNO, kalau tidak ada UMNO orang Melayu habis, susah, tetapi hari ini saya ingin beritahu, saya rasa UMNO perlukan orang Melayu,” kata Johari.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Penggulungan Naib Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di sini hari ini.

Katanya, UMNO kehilangan sokongan di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Selangor berdasarkan kedudukan wakil rakyat parti itu dalam Dewan Undangan Negeri di negeri terbabit.

Johari berkata, dengan pemikiran bahawa UMNO memerlukan orang Melayu maka pemimpin parti tersebut akan bersungguh-sungguh menjaga kaum itu.

“Secara peribadi saya perlukan orang Melayu. Jadi apabila bawa haluan kita memerlukan orang Melayu, kita akan jaga orang Melayu. Tetapi kalau kita mendabik dada bahawa orang Melayu perlukan UMNO, orang Melayu hari ini bukan calang-calang.

“Selepas 60 tahun kita bangunkan negara, selepas bangunkan ekonomi sampai satu peringkat yang kita panggil ekonomi ubi kayu 1957 sekarang kita telah mencecah RM1.5 trilion saiz ekonomi. Tapi hari ini kita hilang kuasa,” katanya.

Johari berkata, bukan mudah untuk mendapatkan semula sokongan dan kepercayaan orang Melayu.

Bagaimanapun banyak perkara yang boleh dilakukan oleh UMNO untuk mendapatkan kepercayaan orang Melayu dan Bumiputera dengan membantu mereka dari segi pekerjaan dan kemahiran.

Kata beliau selepas Pilihan Raya Umum ke-14 jumlah pengangguran yang dicatatkan adalah sebanyak 630,000 dengan 61.5 peratus atau 287 orang adalah orang Melayu dan Bumiputera dan 270,000 daripada jumlah itu berumur bawah 30 tahun.

Peratusan kumpulan orang Melayu dalam bidang pekerjaan mahir juga rendah iaitu hanya 29 peratus manakala 70 peratus masih dalam separa mahir dan rendah.

Manakala sejumlah 1.85 juta golongan Melayu dan Bumiputera yang mempunyai kelulusan bekerja dalam bidang tidak berkemahiran.

UMNO perlu meningkatkan kekuatan politik yang katanya, telah bermula pada Pilihan Eata Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri untuk menarik sokongan Melayu dan Bumiputera.

Tegasnya, tanggungjawab menarik sokongan Melayu dan Bumiputera tidak hanya terletak di bahu Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sahaja.

“Dia mesti diletakkan di bahu 191 ketua bahagian, 22,000 cawangan dan pemimpin tertinggi. UMNO perlu dinamik. Umur kita sudah 78 tahun. Parti terlalu banyak berjasa kepada orang Melayu dan Bumiputera. Jangan terlalu leka dengan kejayaan dan sejarah kita.

“Kalau kita ada buat salah kepada orang Melayu kita minta maaf. Kalau kita gagal dalam tanggungjawab selama 60 tahun memerintah, kita minta maaf pada orang Melayu. Kita perlu bangkit dan menjadikan UMNO lebih dinamik, segar, bersih dan sederhana,” katanya.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast